Lepas Zahid bukan arahan saya, tapi keputusan Idrus – Anwar jawab tohmahan abai reformasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dan memberi arahan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, dalam keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Perdana Menteri menegaskan, jika mempunyai kuasa menangguhkan keputusan mahkamah itu, beliau pastinya akan mengarahkan pembebasan terbabit hanya dibuat selepas selesai semua pilihan raya.

“Tapi saya nak jelaskan, tak ada arahan (kepada) Peguam Negara (ketika itu), (Tan Sri) Idrus (Harun). Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan, kemudian dia baca dokumen bocor yang ditulis AGC (Pejabat Peguam Negara) yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

“Beberapa fakta baharu (setebal) 200 halaman dikemukakan. Tentunya saya sebagai Perdana Menteri tahu kesan dari tuduhan yang dilemparkan. Saya terpaksa tanya panjang kepada AG (peguam negara) kenapa keputusannya begitu, kenapa sekarang.

“Tetapi kalau tanya saya, (kalau) saya ada kuasa…saya nak tangguh. Sebab apa? Sebab saya nak lepaskan (dibuat selepas selesai) semua pilihan raya, kemudian AG jalankanlah tetapi AG tak bersetuju. AG kata tarikh mahkamah ialah 4 haribulan dan 5 haribulan adalah hari akhir beliau.

“Jadi beliau jalankan tanggungjawab. Dia tak mahu lepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain. Saya tak boleh halang dan saya baca kenyataan sebahagiannya benar, sebahagiannya lahirkan rasa kesangsian dan minta penjelasan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas solat jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling lapor BH.

Berhubung pelbagai polemik timbul ekoran keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu, Anwar menjelaskan, beliau juga meminta penjelasan lanjut daripada Peguam Negara pada waktu itu.

Susulan polemik yang berlaku, Perdana Menteri tidak menuding untuk menyalahkan rakyat yang sebenarnya ingin penjelasan lanjut mengenai keputusan terbabit.

“Tapi kalau kita baca 11 perkara yang dibentangkan di hadapan hakim dan hakim berpuas hati. Orang kata salahkan hakim atau nak bebankan hakim, tak ada. Itu proses begitu rupa. Itu saja yang saya boleh sebut dalam kes ini.

“Saya tak fikir ini adil untuk jatuhkan hukuman kerana suka atau tak suka terhadap orang politik. Semua kes berbeza tapi banyak kes yang terlepas, sama ada sebelum perbicaraan atau selepas perbicaraan. Tapi bersabar dan baca.

“Jangan dengar tohmahan orang politik ini. Kadang-kadang dia ini ikut sedap kata saja. Jadi saya syorkan baca ketetapan daripada AG di hadapan hakim dan mengapa hakim kemudian bersetuju dengan usul. Ada yang mengatakan hakim tak ada pilihan. Itu tak benar,” katanya.

Perdana Menteri mendakwa, walaupun Badan Kehakiman tertakluk kepada kertas pendakwaan, namun hakim masih ada budi bicara.

Apa yang diperkatakan itu, kata Anwar bukan untuk membawa pandangan sebagai seakan Peguam Negara tetapi untuk menafikan kerajaan pimpinannya sudah meninggalkan prinsip reformasi.

“Saya bukan bawa pandangan sebagai AG dan saya juga elak. Sebab tohmahan satu pihak ini kerajaan Anwar sudah tinggalkan reformasi, ini tak betul.

“Seperti mana yang saya sebutkan berulang kali, boleh semak AG dulu dan sekarang, boleh semak ketua hakim negara dalam kes apa yang saya campur (tangan)?. Tapi bila kena tokoh tertentu, dia jadi isu (pula).

“Rakyat umumnya berhak ambil tahu dan jawapannya, perlu membaca kenyataan sepenuhnya. Tetapi janganlah fitnah. Janganlah kata ini arahan perdana menteri dan sebagainya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat