KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menghantar usul tergempar ke Dewan Rakyat untuk menangguhkan sidang Parlimen yang bermula Isnin ini.

Ketua Armada Bersatu itu berkata, usul tergempar itu bagi tujuan memberi laluan kepada penjelasan kerajaan berhubung keputusan menarik balik 47 pertuduhan mahkamah ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya telah menghantar usul tergempar jam 830 pagi tadi untuk Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 11 September ini untuk tangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) bagi memberi laluan untuk rakyat dapatkan penjelasan daripada Peguam Negara berhubung keputusan menarik balik 47 pertuduhan mahkamah ke atas YAB Timbalan Perdana Menteri.

“Usul ini adalah mustahak, punya kepentingan ramai demi memelihara integriti kerajaan persekutuan dan kedaulatan undang-undang Malaysia.

“Mari kita sama-sama tularkan agar usul ini dipertimbangkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat,” seru beliau dalam kenyataan pada Jumaat.