Penutupan Kilang Sarung Tangan Getah Akibatkan Pelanggan Lari Ke China, Thailand – Hartalega

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penutupan operasi kilang pembuatan sarung tangan getah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan pandemik COVID-19 telah mengakibatkan pelanggan beralih membeli di negara pengeluar lain seperti Thailand dan China.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Berhad, Kuan Mun Leong berkata, pihaknya terkena impak kepada perniagaan, dari segi kerugian kapasiti iaitu kira-kira 5% daripada jumlah keseluruhan kapasiti tahunan Hartalega.

Oleh demikian kata beliau, amat penting bagi Malaysia untuk terus menyediakan persekitaran operasi kondusif bagi sektor sarung tangan getah kerana pengeluar di China kini secara agresif meningkatkan kapasiti keluaran mereka.

Menurutnya, penguasaan pasaran global China dari segi pembekalan sarung tangan getah dianggarkan meningkat sehingga 23% pada 2022 daripada 16% pada masa ini, manakala penguasaan Malaysia menyusut ke paras 60% berbanding 67% sekarang.

“Masa hadapan sektor sarung tangan adalah penting bagi Malaysia kerana kita adalah peneraju dunia. Namun kini berdepan dengan persaingan dari China, kita berharap kerajaan memberikan kita sokongan sewajarnya supaya negara ini kekal sebagai peneraju,’’ katanya.

Kuan berkata demikian dalam taklimat media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Hartalega di sini semalam.

Beliau berkata, buat pertama kali di negara, kilang-kilang sarung tangan getah yang terletak di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak diiktiraf sebagai barangan penting semasa pandemik.

Menurut beliau, pihaknya diwajibkan membuat saringan COVID-19 ke atas pekerja kilang setiap dua minggu dan ini dianggap menganggu serta sulit untuk dilaksanakan.

“Kami sepatutnya boleh beroperasi pada kapasiti 100% kerana 90% pekerja kami sudah divaksinasi tetapi saringan wajib setiap dua minggu adalah sukar.

“Jadi kami masih berunding dengan kerajaan untuk mencari kaedah yang lebih sesuai, terutama dengan langkah kerajaan untuk memasuki fasa endemik COVID-19 ini,’’ kata beliau.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,555FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat