Tak timbul isu kerjasama BN, PH ditamatkan – Ahmad Zahid

- Advertisement -

KUALA KANGSAR – Tidak timbul isu kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ditamatkan susulan kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkaitan keputusan berkenaan kerjasama itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menerusi mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya kerjasama yang dimaksudkan hanya daripada segi perancangan yang diatur bagi memastikan tidak timbul permasalahan di saat akhir, terutamanya berhubung pembahagian kerusi bagi Kerajaan Perpaduan.

“Saya menerima saranan itu, memang kita akan bawa ke Dewan Tertinggi BN tetapi maksud saya ialah supaya kerusi-kerusi yang kita akan tandingi itu tidak bertindih di kalangan kawan-kawan di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dan kita masih mengekalkan pendirian bahawa walaupun PRU-16 lambat lagi, tetapi kita sudah bertekad untuk terus menurunkan lambang BN untuk digunakan oleh calon-calon kita. Itu maksud sebenar yang tersurat dan yang tersirat,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar Datuk Maslin Sham Razman, Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Pengerusi Umno Perak Datuk Azian Osman.

Ahmad Zahid ditanya ulasannya terhadap kenyataan Mohamad yang dilaporkan media semalam, bahawa keputusan berkenaan kerjasama BN dan PH pada PRU16 hanya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN.

Katanya lagi, sememangnya ada keperluan untuk semua parti membuat perancangan lebih awal bagi memastikan adanya susunan lebih strategik, terutamanya apabila adanya dakwaan bahawa kerusi MCA dan MIC sering bertindih dengan DAP yang mungkin alam menimbulkan ketidakpuasan hati.

“Semua parti politik merancang lebih awal. Jika rancangan itu dibuat di saat akhir, maka situasi politik telah dan akan berubah, jadi bukan sahaja Umno dan BN, malah saya hampir pasti parti-parti lain juga merancang daripada sekarang sekurang-kurangnya untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan kerjasama untuk kempen dapat dilakukan.

“Itu sebabnya saya fikir supaya tidak berlaku pertindihan. Itu sebabnya perbincangan diadakan lebih awal supaya tidak timbul permasalahan di saat akhir. Itu yang saya maksudkan,” katanya.

Beliau dalam pada itu menafikan dakwaan bahawa MCA dan MIC yang merupakan antara komponen BN tidak begitu ‘mesra’ dengan komponen selain BN dalam Kerajaan Perpaduan hingga menzahirkan ketidakseimbangan dalam Kerajaan Perpaduan, menerusi apa yang terzahir dalam mesyuarat dewan tertinggi BN yang diadakan.

“Sebab dalam banyak kali mesyuarat parti-parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan, mereka (MCA, MIC) diwakili oleh oleh Presidennya sendiri atau jika Presidennya tiada, maka Timbalannya atau sesiapa, dan mereka mengemukakan pandangan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi.

“(Jadi) Kerajaan Perpaduan itu tidak ada sebarang masalah yang saya lihatlah, dalam mengemukakan pandangan,” katanya. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat