SEREMBAN – Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar bersama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin memohon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya meneliti kedudukan, kredibiliti serta integriti Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar susulan pertikaian berhubung pelaksanaan titah pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi kenyataan media bersama hari ini, mereka turut memohon supaya isu pengampunan bekas Perdana Menteri itu diteliti secara bersekali dengan krisis takhta Negeri Sembilan yang didakwa turut melibatkan campur tangan Peguam Negara dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan atas nama Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bersama Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Abdul Rahim Yasin; serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri.
Menurut kenyataan itu, tindakan Peguam Negara yang didakwa menghalang pelaksanaan titah pengampunan Najib merupakan pencabulan terhadap kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Ibrahim pada 7 November lalu yang menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib perlu dihormati dan dilaksanakan.
“Kami menegaskan bahawa Kami menyokong dan mendukung tinggi titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang tersebut.
“Keingkaran Peguam Negara terhadap titah pengampunan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim adalah satu pencabulan nyata terhadap kuasa dan prerogatif Raja sebagaimana yang termaktub,” menurut kenyataan berkenaan.
Mereka menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan kuasa budi bicara dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, setiap keputusan yang dibuat menerusi kuasa tersebut wajib dihormati dan dilaksanakan oleh semua pihak yang memikul amanah awam, termasuk Peguam Negara.
Menurut kenyataan itu, Peguam Negara dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya menghalang pelaksanaan kuasa berkenaan dengan berselindung di sebalik proses mahkamah.
Mereka turut menegaskan bahawa Najib telah melalui segala prosedur perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan serta memenuhi semua syarat titah pengampunan.
Justeru, menurut mereka, tidak terdapat alasan untuk pelaksanaan perintah pengampunan berkenaan terus ditangguhkan.
Kenyataan itu turut mengecam tindakan Peguam Negara yang didakwa menggunakan proses mahkamah bagi menghalang pelaksanaan kuasa pengampunan diraja.
*Krisis takhta Negeri Sembilan turut dikaitkan*
Dalam kenyataan sama, Tuanku Nadzaruddin dan pembesar negeri turut mengaitkan pertikaian pelaksanaan titah pengampunan Najib dengan krisis takhta Negeri Sembilan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Mereka mendakwa campur tangan yang sama terhadap kuasa dan prerogatif institusi diraja turut berlaku di Negeri Sembilan apabila ketetapan Undang Yang Empat untuk menurunkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan memilih Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu dihalang daripada dilaksanakan.
Menurut mereka, keputusan berkenaan telah dibuat berdasarkan aturan adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
Kenyataan itu turut merujuk keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada 15 September 2026 yang didakwa telah menerima ketetapan tersebut.
Bagaimanapun, mereka mendakwa pelaksanaan keputusan berkenaan terus disekat oleh Kerajaan Persekutuan walaupun segala keperluan adat dan perlembagaan negeri telah dipenuhi.
Mereka turut mendakwa beberapa agensi Persekutuan, termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), digunakan untuk menyekat serta melakukan intimidasi terhadap pihak yang mempertahankan keputusan Undang Yang Empat.
Menurut kenyataan itu, siasatan dan pendakwaan terpilih turut digunakan terhadap pihak yang mempertahankan institusi diraja serta adat Negeri Sembilan.
Pada masa sama, mereka mendakwa ratusan, malah mungkin ribuan laporan polis yang dibuat oleh pihak mereka tidak mendapat tindakan sewajarnya.
Kenyataan berkenaan turut mendakwa Menteri Besar dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan berdepan tekanan serta tindakan yang disifatkan sebagai tidak berperlembagaan kerana menghormati keputusan Undang Yang Empat.
Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk pemecatan, sekatan menjalankan tugas serta ugutan penangkapan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.
Mereka menegaskan bahawa Menteri Besar dan anggota kerajaan negeri bukan pihak yang membuat keputusan menurunkan Tuanku Muhriz kerana kuasa berkenaan terletak pada Undang Yang Empat menurut adat dan perlembagaan negeri.
“Punca Kuasa menaikkan dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar adalah kuasa dan prerogatif YTM Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub di dalam aturan adat, UUTKNS 1959 dan dilindungi oleh Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Persekutuan yang didakwa terlalu bersungguh-sungguh mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pentadbiran negeri dan rakyat.
Kenyataan itu turut membangkitkan persoalan sama ada campur tangan berkenaan mempunyai kaitan dengan percaturan politik atau kepentingan pihak tertentu.
Mohon Agong teliti integriti Peguam Negara
Sehubungan itu, Tuanku Nadzaruddin dan pembesar negeri mengemukakan permohonan khusus kepada Sultan Ibrahim supaya meneliti isu pengampunan Najib bersama pertikaian takhta Negeri Sembilan.
“Kami selaku Raja Pemerintah Negeri Sembilan Darul Khusus yang sah menurut Perkara 28 UUTKNS 1959, dengan penuh takzim memohon KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar berkenan meneliti isu berhubung titah pengampunan Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak secara bersekali dengan krisis takhta Negeri Sembilan Darul Khusus.
“Penelitian ini wajar bagi menilai kredibiliti dan integriti Peguam Negara, yang memegang jawatan tersebut selama diperkenankan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di dalam Perkara 145(5) dan (6) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka turut menyeru supaya sebarang campur tangan atau intimidasi oleh pentadbiran Kerajaan Persekutuan terhadap prerogatif institusi diraja di mana-mana negeri dihentikan serta-merta.
Menurut mereka, Peguam Negara tidak mempunyai punca kuasa berdasarkan adat dan UUTKNS 1959 untuk mencampuri urusan pemerintahan, adat serta pentadbiran Negeri Sembilan.
Mereka turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati prinsip Raja Berperlembagaan dan federalisme yang menjadi asas pentadbiran negara.
Kenyataan itu turut menyeru Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Ketua Polis Negeri supaya menghormati kedudukan Raja Pemerintah serta pentadbiran kerajaan negeri.
Pada masa sama, rakyat Negeri Sembilan diminta kekal bertenang, bersatu, menghormati undang-undang dan berpegang teguh kepada adat yang menjadi warisan negeri.
Peguam Negara dijadual menghadap Agong
Terdahulu, pada 6 November, Jabatan Peguam Negara mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib bagi mendapatkan penelitian dan penjelasan lanjut mengenai kesan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi selepas bekas Perdana Menteri itu menjelaskan denda RM50 juta.
Bagaimanapun, Sultan Ibrahim pada 7 November bertitah bahawa Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Baginda adalah jelas dan tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.
Susulan titah tersebut, Anwar mengarahkan Peguam Negara supaya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon ampun serta memperjelaskan isu perundangan berkaitan pelaksanaan perintah pengampunan berkenaan.
Mohd Dusuki kemudiannya menyatakan hasrat untuk menghadap Seri Paduka Baginda dan memberikan penjelasan mengenai implikasi perintah mahkamah terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International serta kaitannya dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jabatan Peguam Negara sebelum ini menegaskan bahawa penangguhan sementara itu bukan bertujuan mempertikaikan atau mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi memastikan pelaksanaan perintah pengampunan dan keputusan mahkamah dibuat secara teratur mengikut undang-undang.
Dalam isu takhta Negeri Sembilan pula, pentadbiran negeri sebelum ini dilaporkan menerima nasihat Jabatan Peguam Negara bahawa pengisytiharan pertukaran Yang di-Pertuan Besar tidak sah, suatu pendirian yang dipertikaikan oleh pihak Undang Yang Empat.
Kenyataan bersama Tuanku Nadzaruddin, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin pada 8 November ini sekali gus memperluas pertikaian berkenaan dengan mengemukakan permohonan supaya Yang di-Pertuan Agong turut meneliti kedudukan serta integriti Peguam Negara.
Kenyataan itu diakhiri dengan sokongan terhadap titah Sultan Ibrahim dan titah Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026, selain menyeru semua pihak supaya mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kedudukan institusi diraja.


