Bukan semua wira dikenali, KHIND angkat 65 kisah rakyat Malaysia yang wajar dihargai

Dalam kehidupan seharian, kita sering melihat kejayaan melalui pencapaian besar, populariti atau pengiktirafan yang diterima seseorang. Namun, hakikatnya ada ramai individu di sekeliling kita yang melakukan perkara luar biasa tanpa mengharapkan perhatian mahupun pujian.

Ada yang menghabiskan masa membantu komuniti, ada yang berusaha mengubah kehidupan orang lain dan tidak kurang juga mereka yang terus memberikan sumbangan kecil tetapi cukup bermakna kepada masyarakat. Kisah insan seperti inilah yang cuba diketengahkan oleh KHIND menerusi kempen “Sebut Namamu” sempena ulang tahun ke-65 jenama tempatan itu.

Dilancarkan pada Ogos 2026 bersempena sambutan Hari Malaysia, kempen ini membawa pendekatan berbeza dengan memberi ruang kepada 65 individu daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi perjalanan hidup serta sumbangan mereka sebagai ‘Everyday Champions’ atau Juara Setiap Hari.

Menariknya, kisah yang diketengahkan bukan hanya tertumpu kepada individu terkenal atau mereka yang mempunyai jawatan besar. Sebaliknya, KHIND mahu masyarakat melihat bahawa setiap orang mempunyai peranan tersendiri dalam membawa perubahan positif, walaupun usaha tersebut mungkin tidak pernah mendapat perhatian umum.

Pengarah Eksekutif KHIND Group, Cheng Duo-Ren berkata, sambutan ulang tahun ke-65 syarikat bukan sekadar meraikan perjalanan dan perkembangan jenama itu, tetapi turut menjadi peluang untuk menghargai masyarakat yang bersama-sama membentuk kehidupan seharian.

Menurutnya, kempen “Sebut Namamu” diharap dapat membuka mata orang ramai bahawa kejayaan sesebuah komuniti bukan hanya bergantung kepada pencapaian besar, sebaliknya turut dibina melalui sikap prihatin, semangat saling membantu dan sumbangan individu di sekeliling kita.

Setakat ini, kempen tersebut berjaya meraih lebih satu juta tontonan menerusi Facebook, Instagram, TikTok dan Threads, manakala 41 daripada 65 kisah yang disasarkan telah pun diterbitkan. KHIND menyasarkan kesemua kisah berkenaan dapat dikongsikan menjelang penghujung Disember 2026.

Antara kisah yang menarik perhatian ialah Uncle Leslie, bekas pengurus jualan yang menyertai syarikat kecantikan tempatan, Dododots, sebagai pelatih senior atau *senior intern*. Turut diketengahkan ialah Dr Moventhiran Ramakrishnan yang berjaya mengubah kehidupan keluarganya menerusi pendidikan sehingga bergelar pakar bedah saraf.

Selain itu, terdapat kisah Juairiah daripada GOLD (Generating Opportunities for Learning Disabilities) yang meluangkan masa membimbing golongan neurodivergen, Rusydi Rosli yang menggunakan media sosial untuk meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan akses surau awam serta Shazwan Wong bin Abdullah yang aktif melatih bola sepak di peringkat akar umbi.

Kepelbagaian kisah ini memperlihatkan bahawa sumbangan kepada masyarakat tidak semestinya perlu dilakukan dalam skala besar. Kadangkala, perkara yang dianggap kecil oleh seseorang sebenarnya mampu memberikan kesan besar kepada kehidupan individu lain.

Bagi KHIND, kempen ini juga menjadi ruang untuk orang ramai mengenali individu yang mungkin selama ini berada dekat dengan mereka, tetapi tidak pernah benar-benar mendapat peluang untuk berkongsi kisah perjuangan masing-masing.

Lebih menarik, orang ramai turut diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada kempen ini dengan mencalonkan diri sendiri atau individu lain yang dirasakan layak menerima penghargaan. Pencalonan dibuka sehingga 30 November 2026 menerusi laman sesawang rasmi kempen di www.khindrto.com.my/sebut-namamu.

Selepas kesemua 65 kisah diperkenalkan, proses pengundian dan pengadilan akan dijalankan bagi memilih lima individu sebagai pemenang pada Disember 2026. Setiap pemenang bakal menerima produk KHIND bernilai RM6,500 serta peluang dilantik sebagai Duta KHIND bagi tahun 2027. Pengumuman rasmi dijadualkan berlangsung pada Januari 2027.

Apa yang cuba disampaikan menerusi kempen “Sebut Namamu” sebenarnya cukup dekat dengan kehidupan kita. Tidak semua orang yang berjasa akan dikenali ramai dan tidak semua kebaikan perlu dilakukan untuk mendapatkan perhatian.

Namun, setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas tetap mempunyai nilai tersendiri. Mungkin inilah masanya untuk kita berhenti seketika, melihat sekeliling dan menghargai insan yang selama ini banyak memberikan makna dalam kehidupan orang lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat