Perdana Menteri dan Jemaah Menteri Kekal Jalankan Kuasa Eksekutif – Peguam Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memaklumkan dari segi undang-undang, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri sedia ada masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti atau pemimpin parti politik.

“Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO bertarikh 7 Julai 2021, kenyataan tersebut merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk Kerajaan sedia ada yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Buat masa ini Kerajaan tidak mempunyai apa apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik,” katanya.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan dua menteri disahkan mengadakan pertemuan di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara hari ini.

Pertemuan tersebut difahamkan berlaku susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Rabu yang menarik sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat