MELAKA – Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin yakin Barisan Nasional (BN) berpotensi meningkatkan majoriti undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Keyakinan itu berdasarkan perkembangan positif sokongan masyarakat setempat selain gerak kerja jentera BN Sabah yang membantu kempen di kedua-dua kawasan berkenaan sejak 29 Oktober lalu.
Menurut Jafry, jentera BN Sabah bekerja keras membantu jentera tempatan menerusi pendekatan dari rumah ke rumah, selain mengenal pasti pengundi yang dikategorikan sebagai hitam dan kelabu.
Katanya, usaha itu turut memberi tumpuan kepada pengundi Perikatan Nasional (PN), termasuk mereka yang sebelum ini dikenal pasti sebagai pengundi hitam tetapi kini menunjukkan kecenderungan untuk beralih kepada BN.
“Alhamdulillah, jentera kita bekerja keras dari rumah ke rumah, selain membantu jentera tempatan mengenal pasti pengundi dalam kategori hitam dan kelabu.
“Usaha ini turut memberi tumpuan kepada pengundi Perikatan Nasional (PN), termasuk mereka yang sebelum ini dikenal pasti sebagai pengundi hitam tetapi kini menunjukkan kecenderungan untuk beralih kepada BN.
“Berdasarkan gabungan sokongan daripada pengundi hitam dan kelabu ini, pada pandangan saya, BN di Duyong dan Telok Mas berpotensi memperoleh undi yang lebih tinggi berbanding pilihan raya lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Suara.TV di DUN Duyong, semalam.
Mengulas jangkaan keputusan pada hari pengundian, Jafry berkata, beliau melihat petanda positif terhadap peluang BN untuk meningkatkan majoriti di kedua-dua kerusi berkenaan.
“Insya-Allah, dengan izin Allah, saya melihat terdapat petanda yang positif. Majoriti undi dijangka meningkat berbanding pilihan raya yang lalu di kedua-dua kerusi.
“Ya. Pertama, disebabkan faktor pengundi muda. Kedua, dengan adanya bantuan daripada Perikatan Nasional, sudah pasti ia akan meningkatkan lagi jumlah undi yang diperoleh kedua-dua calon BN di Duyong dan Telok Mas,” katanya.
Dalam pada itu, Jafry berkata, pemilihan Duyong dan Telok Mas sebagai kawasan yang dibantu jentera Sabah dibuat berdasarkan ketetapan ibu pejabat BN selain permintaan calon di kedua-dua kawasan supaya jentera berkenaan kembali membantu kempen.
Menurutnya, sebahagian jentera Sabah sudah mengenali kawasan terbabit sejak pilihan raya lalu dan masih mempunyai hubungan dengan pengundi tempatan.
Beliau berkata, sambutan masyarakat terhadap calon BN juga amat baik kerana mereka bukanlah pemimpin yang hanya turun bekerja ketika musim pilihan raya.
“Kita melihat calon yang ditampilkan bukanlah calon yang hanya mula bekerja ketika pilihan raya, sebaliknya mereka sudah bekerja sejak memenangi pilihan raya sebelum ini.
“Mereka juga menetap di kawasan pilihan raya masing-masing dan setiap hari bertemu dengan pengundi. Mereka terus menabur khidmat sejak memenangi pilihan raya sehingga hari ini.
“Sebab itu, jentera Sabah juga agak mudah menjalankan gerak kerja kerana calon-calon berkenaan sememangnya dikenali oleh pengundi tempatan,” katanya.



