Cyberjaya – Tesla kini berdepan krisis serius apabila jualannya di beberapa pasaran utama Eropah merudum dengan mendadak, selari dengan kemerosotan imej jenamanya yang semakin terhakis didakwa akibat tingkah laku kontroversi CEO syarikat itu, Elon Musk.
Menurut laporan Reuters, jualan kereta baharu Tesla di Sweden menjunam sebanyak 81% pada April – tahap terendah dalam tempoh dua setengah tahun. Kejatuhan serupa berlaku di Belanda (74%), Perancis (59%), Denmark (67%), dan Portugal (33%).
Yang lebih membimbangkan, trend ini berlaku ketika pasaran kenderaan elektrik (EV) Eropah secara keseluruhan sedang berkembang. Dalam suku pertama tahun ini, jualan EV di Eropah meningkat 28%, namun jualan Tesla jatuh 37%, menjadikan syarikat itu terasing daripada pertumbuhan industri.
Tahun lalu, Tesla menjual 86,000 kereta di Eropah dalam tempoh tersebut, tetapi hanya 54,000 tahun ini.
Pakar menyifatkan penurunan ini bukan sahaja berpunca daripada peningkatan persaingan, tetapi juga kesan langsung daripada tingkah laku Musk. Sokongannya terhadap politik sayap kanan, keterlibatannya dengan pentadbiran Trump, serta kenyataan ekstrem yang dilihat menyinggung sensitiviti masyarakat Eropah, telah menjejaskan imej jenama Tesla secara mendalam.
“Jenama ini telah menerima tamparan reputasi di Eropah,” kata Ginny Buckle, CEO Electrifying.com, sambil memetik tinjauan yang menunjukkan 59% responden kurang berminat membeli Tesla disebabkan Musk.
Tesla juga berdepan cabaran produk – barisan modelnya kini dianggap ketinggalan zaman, dan model terkini seperti Cybertruck tidak dibenarkan di jalan raya Eropah.
Menurut Andy Leyland dari SC Insights, “Kelebihan teknologi Tesla kini telah terhakis, dan saingan dari jenama automotif lama serta pengeluar China semakin kuat.”
Syarikat itu turut merekodkan kejatuhan keuntungan bersih sebanyak 71% bagi suku pertama 2025, berserta penurunan hasil jualan sebanyak 9%. Ini adalah kejatuhan jualan suku tahunan terburuk dalam sejarah Tesla.
Meskipun pelabur mengharapkan pemulihan melalui pelancaran model bajet sekitar $25,000 (anggaran RM118,000), masih tiada tarikh pasti bila model tersebut akan dipasarkan.