Iran berpesta raikan gencatan senjata

TEHERAN – Ribuan penduduk Iran berhimpun sambil mengibarkan bendera negara itu bagi meraikan gencatan senjata di ibu negara Teheran, lokasi yang sebelum ini kerap menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel sejak 28 Februari lalu.

Presiden AS, Donald Trump mengumumkan bersetuju menghentikan serangan menerusi gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran.

Keputusan itu dibuat kurang dua jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Trump untuk Teheran membuka semula Selat Hormuz atau menghadapi serangan dahsyat ke atas infrastruktur awamnya, di mana beliau mengancam memusnahkan seluruh tamadun Iran.

Sejak semalam, rakyat Iran sudah mula berkumpul membentuk rantaian barisan manusia yang saling berpegangan tangan di atas jambatan serta di luar loji janakuasa di seluruh negara sebagai reaksi terhadap ancaman serangan tersebut.

Demonstrasi itu digambarkan sebagai usaha simbolik untuk menunjukkan solidariti nasional dan melindungi aset-aset strategik negara. Video dan imej kejadian itu disahkan serta disiarkan di media tempatan Iran.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Tertinggi Iran mengumumkan tenteranya hampir mencapai kemenangan dalam perang menentang AS.

Selepas 40 hari berperang, Teheran menyifatkannya sebagai ‘detik bersejarah’ dan ‘tanda kekalahan AS’.

“Majlis Keselamatan Tertinggi Iran mengumumkan selepas 40 hari perang, tenteranya telah mencapai kejayaan hampir sepenuhnya, menolak musuh ke situasi yang digambarkan oleh Teheran sebagai kekalahan bersejarah,” lapor Quds News Network.

Iran berkata, rundingan dengan AS akan bermula pada Jumaat di Islamabad, Pakistan, di mana Perdana Menteri negara itu, Shehbaz Sharif membantu memediasi gencatan senjata. AS belum mengesahkan rundingan bersemuka tetapi berkata ia sedang dibincangkan.

Trump berkata, Iran telah mengemukakan pelan 10 perkara yang merupakan asas yang boleh dilaksanakan untuk rundingan dan beliau menjangkakan perjanjian itu dapat dimuktamadkan dan disempurnakan dalam tempoh dua minggu tersebut.

Trump menekankan perjanjian saat akhir itu tertakluk kepada persetujuan Iran untuk menghentikan sekatan ke atas bekalan minyak dan gas melalui Selat Hormuz.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam satu kenyataan berkata, Teheran akan menghentikan serangan balas dan membenarkan laluan selamat melalui selat tersebut.

Televisyen kerajaan Iran melaporkan Trump telah menerima syarat Iran untuk menamatkan perang, menggambarkannya sebagai ‘penarikan diri yang memalukan’ oleh Presiden AS.

Namun, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt mendakwa Trump dan tentera AS yang berkuasa berjaya membuat Iran bersetuju membuka semula Selat Hormuz dan rundingan akan diteruskan, lapor media antarabangsa.

Dalam beberapa jam sejak pengumuman gencatan senjata oleh Trump, sekurang-kurangnya dua serangan udara Israel berlaku di Lubnan dengan satu di bandar Tyre berhampiran hospital dan satu lagi di bandar Machghara di Lembah Bekaa.

Sebuah dron Israel masih terbang rendah dan bising di atas ibu kota, Beirut.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat