Gurauan SOG jadi kenyataan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selama 16 tahun berjuang sebagai kumpulan indie, akhirnya Sekumpulan Orang Gila (SOG) mampu membuktikan karya semakin diterima dalam muzik ‘mainstream’.

Nama SOG belum cukup ampuh dalam kalangan kelompok peminat mainstream, namun, SOG bukan asing buat penggemar muzik indie apabila pernah menghasilkan tiga album dan satu extended play (EP).

Kekuatan lagu Pelukan Angkasa kolaborasi SOG dan Shila Amzah membuka mata ramai apabila barisan juri profesional memilih karya ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamuddin itu sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam kelmarin.

“SOG bukan kumpulan baharu, sebaliknya hampir 20 tahun berjuang dalam arena muzik.

“Jujurnya, kami pernah bergurau jika lagu dipertandingkan pada AJL. Sebelum ini, tak pernah terfikir hendak hantar lagu untuk pencalonan program Muzik Muzik.

“Kami berkarya seikhlas hati, jadi SOG tak tumpu kepada acara anugerah. Jika ada undangan persembahan amal atau ganti penyanyi lain pada saat akhir pun kami tak tolak.

“Namun, siapa sangka gurauan jadi kenyataan, malah menang besar pula. Kami anggap inilah rezeki selepas hampir dua dekad berjuang,” kata vokalis yang juga komposer, Raja Nazrin.

Selain Raja Nazrin, SOG dianggotai Riko Agus (vokalis), Abdul Qayyum (pemain bes), MK Ridzuan (flut) dan Raja Nazmin Shah serta Amsyar Saiful (gitaris).

Raja Nazrin berkata, lagu Pelukan Angkasa sudah lama, namun ia dianggap rezeki besar apabila membolosi pentas AJL 36, sekali gus diangkat juara.

“Barangkali, Allah nak tunjukkan sesuatu. Ada kepercayaan dan jawapan di sebalik perjalanan panjang ini,” katanya kepada BH Online.

 

Nama belum cukup ampuh dalam kalangan kelompok peminat mainstream, namun, SOG bukan asing buat penggemar muzik indie apabila pernah menghasilkan tiga album dan satu EP. - NSTP/Aziah Azmee
Nama belum cukup ampuh dalam kalangan kelompok peminat mainstream, namun, SOG bukan asing buat penggemar muzik indie apabila pernah menghasilkan tiga album dan satu EP. – NSTP/Aziah Azmee

 

Sementara itu, bagi Shila projek lagu Pelukan Angkasa sangat bermakna buatnya.

“Cuma, saya lebih relaks kali ini. Selama ini, saya tulis lagu sendiri ketika bertanding pada AJL.

“Memang gementar lain macam, malah rasa kecewa jika tidak buat sehabis baik.

“Saya dan SOG datang hanya membawa jasad ketika sesi raptai. Finalis lain pula saya nampak dengan pelbagai usaha.

“Saya teruja melihat semangat mereka, namun AJL 36 seperti biasa, sifatnya penuh warna-warni,” kata Shila.

Bagi penulis lirik, Fazleena, Pelukan Angkasa mengenai kisah cinta terhalang.

“Ia membabitkan dua dunia antara manusia dan ‘vampire’. Cuma, saya tidak tahu lagu ini akan dijadikan runut bunyi filem KL Vampires.

“Saya menyiapkan lirik tidak sampai seminggu, kemudian SOG merakamkannya. Saya puji kerana guna lirik tanpa sepatah ayat ditukar.

“Jelas, SOG amat menghormati penulisan seseorang,” kata Fazleena yang sudah terbiasa menulis bahasa puitis dan memiliki buku puisi sendiri.

Fazleena memuji usaha AJL 36 dan TV3 kerana memberi peluang kumpulan indie menonjolkan kreativiti mereka.

“Ramai bakat indie yang jarang keluar televisyen dan orang tak kenal. Jadi, saya harap perbanyak program yang boleh bawa mengetengahkan penyanyi aliran ini,” kata Fazleena.

Terdahulu, SOG dan Shila membawa pulang trofi bersalut emas yang kali pertama diperkenalkan dan wang tunai RM100,000.

Naib juara, lagu Cinta ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim nyanyian Marsha membawa pulang RM50,000.

Tempat ketiga, Mimpi ciptaan Haqiem Rusli dan Datuk A Aida nyanyian Haqiem memenangi wang tunai RM30,000.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat