CYBERJAYA : Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada individu yang ditahan polis susulan perhimpunan aman di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, malam semalam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya mempersoalkan asas penahanan terhadap peserta perhimpunan tersebut, sedangkan hak untuk berhimpun secara aman dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, beberapa individu yang ditahan dilaporkan akan didakwa pada bulan hadapan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada hak berhimpun masih dihormati.
“Hak berhimpun adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Jadi atas sebab apa mereka ini ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa?” katanya dalam satu kenyataan video hari ini.
Akmal turut menyindir pendirian kerajaan yang menurutnya sebelum ini lantang mempertahankan hak berhimpun ketika menjadi pembangkang, namun gagal mempertahankan peserta perhimpunan selepas membentuk kerajaan.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan Pemuda UMNO akan bersama individu yang ditahan dan bakal didakwa, serta menyeru mereka menghubungi pihaknya bagi mendapatkan bantuan guaman.
“Jangan takut, jangan risau. Pemuda UMNO bersama anda. InsyaAllah kita akan bantu dan lawan perkara ini di mahkamah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu pencerobohan tanah, sambil mempersoalkan tindakan menahan individu yang mempertahankan tanah, sedangkan pihak yang didakwa menceroboh tidak diambil tindakan tegas.



