KUALA LUMPUR — Seorang peguam mendakwa diugut oleh seorang anggota polis ketika menjalankan tugas guaman berkaitan perhimpunan aman Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di hadapan Kompleks SOGO, Kuala Lumpur, malam tadi.
Peguam berkenaan, Zambri Mohd Isa, berkata beliau telah diancam untuk ditumbuk oleh seorang anggota polis lelaki yang dikenali sebagai Wan Syah hanya kerana bertanyakan sebab seorang wanita ditahan polis di lokasi kejadian.
Menurut Zambri, kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam ketika beliau berada di hadapan SOGO bagi menjalankan tugas sebagai peguam kepada perhimpunan aman tersebut.
“Saya telah ternampak dua anggota polis wanita menahan seorang perempuan Melayu. Apabila saya bertanya mengapa wanita itu ditahan dan apa kesalahannya, kemudian datang seorang anggota polis lelaki bernama Wan Syah ke arah saya dan mengugut saya dengan mengatakan ‘aku tumbuk muka kau’,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata ugutan itu dibuat walaupun beliau hanya menjalankan tugas sebagai peguam, dan mendakwa tindakan tersebut berbentuk intimidasi serta ancaman yang tidak sepatutnya berlaku dalam era Kerajaan Malaysia Madani.
“Saya masih tidak faham kenapa perlunya ada intimidasi berbentuk ugutan sebegitu dalam era kerajaan Malaysia Madani,” katanya.
Zambri turut memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut dan beliau kini menunggu tindakan susulan daripada pihak berkuasa terhadap anggota polis yang dinamakan dalam laporan berkenaan.
Zambri turut memuat naik rakaman insiden berkenaan sebagai bukti dakwaan beliau.
Dalam kenyataan susulan, Zambri turut mempersoalkan sikap berdiam diri Malaysian Bar berhubung dakwaan ugutan dan halangan terhadap tugas guaman yang dihadapinya.
“Masih menunggu kenyataan Malaysian Bar ke atas tindakan polis yang mahu menumbuk saya dan menghalang tugas saya sebagai peguam,” katanya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia mahupun Malaysian Bar berhubung dakwaan tersebut. – SuaraTV



