KUALA LUMPUR – Tindakan menjadi “gunting dalam lipatan” dengan melaga-lagakan pemimpin serta menghasut dari dalam parti boleh membawa kepada tindakan pemecatan sekiranya berterusan, tegas Ketua Armada Bersatu Malaysia, Hilman Idham.
Beliau berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia merupakan sebuah parti yang demokratik dan memberi ruang kepada ahli untuk bersuara serta menyatakan pendapat, namun kebebasan itu perlu dilaksanakan secara bertertib dan melalui saluran yang betul selaras dengan disiplin organisasi.
“Semua ahli ada hak dan kebebasan untuk bersuara, tetapi mesti dengan tertib dan menjaga disiplin organisasi. Maknanya, gunakan saluran yang betul,” katanya dalam satu kenyataan video.
Hilman mengibaratkan Bersatu sebagai sebuah pasukan atau jemaah yang menuntut kesetiaan serta disiplin daripada setiap ahlinya demi memastikan kekuatan dan kestabilan parti terus terpelihara.
“Kalau kita masih minat dan sayangkan parti, jagalah disiplin dan tertib dalam organisasi. Tapi kalau tidak, lebih baik tinggalkan parti dan main dengan pasukan lain. Itu lebih baik daripada duduk dalam parti tetapi melaga-lagakan pemimpin, menghasut sana sini dan menjadi gunting dalam lipatan,” katanya.
Menurut beliau, amalan politik intrik secara berterusan bukan sahaja melemahkan perpaduan dalaman parti, malah boleh disifatkan sebagai usaha menghancurkan parti dari dalam, sekali gus membuka ruang kepada tindakan disiplin yang tegas.
Kenyataan tersebut hadir ketika wujud spekulasi mengenai pergeseran dalaman kepimpinan tertinggi Bersatu, termasuk dakwaan yang mengaitkan peranan Timbalan Presiden parti, Hamzah Zainuddin, dalam isu gerakan dalaman parti.
Bagaimanapun, Hamzah sebelum ini menafikan sebarang dakwaan bahawa beliau terlibat dalam usaha melemahkan atau mencabar kepimpinan Presiden Bersatu, sebaliknya menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh perpaduan dan kestabilan parti.
Kenyataan itu dilihat sebagai sebahagian usaha kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk meredakan ketegangan dalaman dan mengekang sebarang percaturan politik yang berpotensi menjejaskan kestabilan parti.



