Pengembaraan magis lebih tiga jam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penantian 13 tahun untuk peminat menyaksikan sekuel filem sains fiksyen (sci-fi) epik, Avatar yang mencetuskan fenomena pada 2009, tentunya berbaloi apabila naskhah terbaru menjanjikan babak sarat emosi dan debaran selama tiga jam 10 minit.

Itulah dijanjikan pengarah tersohor berasal dari Kanada, James Cameron yang mempertaruhkan sekuel baharu Avatar: The Way of Water yang bakal menjengah pawagam di Malaysia pada 15 Disember ini.

Dengan durasi panjang, Avatar: The Way of Water menduduki senarai antara filem sci-fi melebihi tiga jam yang dipersembahkan kepada penonton, sama seperti filem Titanic yang berdurasi 3 jam 14 minit dihasilkan Cameron dan Avengers: Endgame (tiga jam dua minit).

Naskhah pertama, Avatar yang ditayangkan pada Disember 2009 merekodkan durasi kurang 29 minit daripada sekuel The Way of Water, iaitu dua jam dan 41 minit.

HIP yang diundang menemuramah bintang utama Avatar: The Way of Water, Sam Worthington secara virtual ketika aktor itu berada di New Zealand, baru-baru ini, sempat bertanya pelbagai maklumat menarik mengenai sekuel yang cukup dinantikan peminat di seluruh dunia itu.

Worthington memberitahu, isu tempoh tayangan filem terbitan 20th Century Studios dan Lightstorm Entertainment itu bagaimanapun tidaklah dianggap mustahak.

Sebaliknya, kongsi Worthington, apa yang lebih penting adalah mesej yang mahu diketengahkan naskhah berkenaan.

“Saya fikir durasi filem ini berpotensi untuk lebih panjang. Tetapi apa yang Cameron hasilkan adalah suatu pengalaman yang mengagumkan di pawagam.

“Cameron masih berusaha dari sudut durasi, namun bagi saya ia bukanlah suatu isu kerana apabila ceritanya menarik, ia boleh membuatkan seseorang terus duduk di kerusi dan menontonnya.

“Itu yang kami sasarkan. Kami bukan fokus kepada durasi filem ini. Sebaliknya, kami tekankan pengalaman emosi penonton.

“Kami menghasilkan kisah keluarga yang dipaksa meninggalkan kediaman dan bergelut seperti mana ada yang bertarung dengan isu domestik ketika ini.

“Tetapi uniknya, kisah keluarga ini dipaparkan dalam galaksi yang berbeza,” katanya pada sidang media virtual itu.

 

Cameron bersama Worthington (kanan) di sebalik tabir Avatar: The Way of Water. - Foto Ihsan Walt Disney
Cameron bersama Worthington (kanan) di sebalik tabir Avatar: The Way of Water. – Foto Ihsan Walt Disney

 

Worthington percaya dengan kebolehan James sebagai penyampai cerita yang bagus dan teliti, Avatar 2 mampu membuatkan penonton terus melekat di kerusi.

Beliau yang menghidupkan watak Jake Sully percaya jalan cerita Avatar 2 berbeza dan unik berbanding naskhah pertama.

“Cameron tidak menghasilkan kisah sama seperti filem pertama. Beliau sampaikan cerita ditambah baik dari pelbagai segi seperti teknologi dan sudah tentu, karakter.

“Cameron meletakkan kami sebagai keluarga dan lebih banyak cabaran yang perlu kami lalui sebagai famili.

“Itu yang menarik dengan filem ini sebab bukan sahaja karakter saya yang berkembang, malah jalan cerita,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan karakter dibawanya dalam filem itu, Worthington berkata, Sully masih dianggap hero yang mempunyai keberanian sama. Cuma, tanggungjawab sebagai bapa kepada lima anak menjadi lebih besar.

“Saya fikir karakter ini berkembang lebih kurang sama seperti saya. Sully sekarang mempunyai anak dan saya juga sudah memiliki cahaya mata.

“Jadi, sikap sebagai pelindung lahir secara semula jadi dari dalam diri. Selain itu, Sully masih hero yang berani, namun, tanggungjawabnya lebih besar sekarang.

“Iya, apabila kita semakin berusia, kita sedar apa yang penting dalam dunia. Itu yang Sully lalui dalam filem ini.

“Apa yang digambarkan Cameron adalah hubungan kekeluargaan. Mereka melindungi antara satu sama lain untuk terus bersama,” katanya.

 

Cameron tidak menghasilkan kisah sama seperti filem Avatar, sebaliknya cerita ditambah baik dari segi teknologi dan karakter menerusi sekuel Avatar: The Way of Water. - Foto Ihsan Walt Disney
Cameron tidak menghasilkan kisah sama seperti filem Avatar, sebaliknya cerita ditambah baik dari segi teknologi dan karakter menerusi sekuel Avatar: The Way of Water. – Foto Ihsan Walt Disney

 

Worthington berkata, mesej kekeluargaan yang nyata ditonjolkan dalam Avatar 2 menjadi faktor utama dia menerima tawaran meneruskan watak Sully.

“Saya boleh baca mesej kekeluargaan dengan jelas ketika saya terima skrip. saya akui skrip itu sangat seronok dibaca.

“Saya sudah menjayakan banyak filem yang mengagumkan, tetapi tiada jiwa. Tetapi, bila awak bekerja dengan Cameron, awak tahu awak akan melihat aksi yang mengagumkan dan visual hebat.

“Sesebuah filem itu boleh berjaya apabila berjiwa. Itu yang kita boleh lihat dalam filem ini,” katanya.

Avatar: The Way of Water membawa penonton menyaksikan kisah yang berlaku lebih sedekad selepas peristiwa filem pertama iaitu perkembangan keluarga Sully, isterinya, Neytiri dan anak-anak, dalam berdepan tragedi selain berkorban demi meneruskan survival.

Apa yang menarik mengenai Avatar: The Way of Water adalah kebanyakan adegan dirakamkan dalam air.

Berikutan itu, pelakon perlu belajar menahan nafas dalam air ketika penggambaran dilakukan.

Bintang Titanic, Kate Winslet, misalnya, mampu menahan nafasnya dalam air selama tujuh minit ketika penggambaran.

Keupayaan Winslet dikatakan memecah rekod dipegang Tom Cruise ketika melakukan penggambaran filem Mission Impossible: Rogue Nation.

Worthington berkata, mereka diajar pakar teknik menahan nafas sebelum penggambaran dalam air dibuat.

“Kami belajar untuk bernafas dengan betul, mengosongkan minda dan sebagainya supaya anda boleh berada dalam air buat beberapa minit.

“Anda boleh melakukannya jika mengambil masa dan bersabar. Saya jayakan satu babak bersama anak dalam filem ini. Adegan itu cukup emosional.

“Babak itu tampak ‘gila’, tetapi boleh dilakukan apabila anda belajar teknik betul.

“Saya percaya kepada Cameron. Saya berharap apa yang beliau lakukan, dapat disampaikan dengan baik kepada penonton,” katanya.

 

Cameron yang mempertaruhkan sekuel baharu Avatar: The Way of Water yang bakal menjengah pawagam di Malaysia pada 15 Disember ini. - Foto Ihsan Walt Disney
Cameron yang mempertaruhkan sekuel baharu Avatar: The Way of Water yang bakal menjengah pawagam di Malaysia pada 15 Disember ini. – Foto Ihsan Walt Disney

 

Dengan pengalaman itu, Worthington seronok mengabdikan diri dalam dunia lakonan selama dua dekad mahu terus mengutip lebih banyak pengalaman.

Mengulas kecenderungan penonton membeli tiket filem adiwira yang dilihat menguasai pawagam, Cliff Curtis yang turut menjayakan sidang media virtual itu percaya Avatar: The Way of Water mampu menarik penonton.

“Saya percaya orang ramai akan menonton filem ini. Saya baru sahaja menonton dengan anak yang belum dilahirkan ketika filem pertama Avatar ditayangkan.

“Ini adalah pengalaman yang berbaloi kerana mereka sukakannya.

“Saya juga gembira untuk menonton buat kali kedua, mengapa tidak?” kata pelakon yang juga popular menerusi filem aksi Hobbs & Shaw ini.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Tonowari, iaitu ketua puak Metkayina, Curtis mudah meresapi karakter kerana dia berasal daripada kaum pribumi Maori di New Zealand.

“Saya berketurunan Polinesia. Kami mempunyai banyak kaum dan mendiami pelbagai pulau.

“Jadi, pastinya budaya pelaut Polinesia yang tinggal di pulau adalah inspirasi bagi saya menjayakan filem ini.

“Apa yang lebih memberi saya inspirasi adalah melihat apa yang diketengahkan Cameron seolah-olah mencerminkan budaya asal saya menerusi cara menakjubkan.

“Saya sangat sukakannya apabila James menggambarkan semuanya begini,” katanya.

Tonowari adalah ketua masyarakat terumbu atau dikenali sebagai puak Metkayina yang mendiami kawasan bawah air di mana kebanyakan aksi filem sekuel ini dirakamkan.

Apa yang digambarkan adalah perjalanan keluarga Sully yang terpaksa meninggalkan hutan untuk melindungi puaknya dengan mendapat perlindungan daripada puak Metkayina yang tinggal di lautan.

Cameron menggambarkan Pandora sebagai rumah kepada banyak puak orang asli melalui paparan indah dan penuh inspirasi.

Selain Worthington, Winslet dan Curtis, Avatar: Way of Water dibintangi Zoe Saldana, Sigourney Weaver, Stephen Lang, Joel David Moore, CCH Pounder, Edie Falco dan Jemaine Clement.

Cameron bakal tampil dengan tiga sekuel tambahan yang dijadual tayangannya pada 2024, 2026 dan 2028.

Berita Harian

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat