Apa lagi yang Peguam Negara tidak faham, tanya Hasnal Rezua

KUALA LUMPUR – Peguam kanan yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican mempersoalkan apa lagi yang tidak difahami oleh Peguam Negara sehingga Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menangguhkan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun denda RM50 juta telah dijelaskan.

Beliau menyifatkan kenyataan media AGC bertarikh 6 November lalu sebagai permulaan kepada suatu tindakan yang didakwanya dirancang untuk meneruskan ketidakadilan terhadap Najib tanpa justifikasi undang-undang.

Menurut Hasnal, perintah pengampunan bertarikh 18 September 2026 yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, jelas membawa maksud bahawa Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Katanya, penggunaan perkataan tertakluk dalam perintah berkenaan sepatutnya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kerana pembayaran denda merupakan prasyarat kepada pelaksanaan tahanan rumah.

“Jabatan Penjara Malaysia tidak terkeliru. Mereka terus menahan Najib di penjara selagi denda tersebut tidak dijelaskan.

“Najib dan peguamnya juga tidak terkeliru kerana mereka tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada mahkamah atau menulis kepada Lembaga Pengampunan untuk mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan perintah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasnal berkata, ahli UMNO yang menggerakkan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak juga memahami bahawa pembayaran RM50 juta perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum bekas Presiden UMNO itu boleh menjalani tahanan rumah.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan AGC yang hanya membangkitkan isu kemungkinan terdapat dua tafsiran terhadap perintah pengampunan berkenaan selepas pembayaran denda disempurnakan pada 6 November.

Menurutnya, sebelum pembayaran tersebut dibuat, AGC tidak pernah secara terbuka mempertikaikan maksud perintah yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

“Setelah denda RM50 juta dibayar ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jabatan Peguam Negara secara tidak semena-mena mengeluarkan kenyataan media mengenai kekeliruan mereka terhadap tafsiran frasa tersebut,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan AGC mengaitkan kekeliruan itu dengan dokumen *Order of Discharge on Payment of Fine* bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hasnal berhujah bahawa istilah *discharge* dalam konteks pembayaran denda tidak boleh ditafsirkan sebagai penghapusan keseluruhan hukuman penjara yang masih belum selesai dijalani.

Katanya, mahkamah sememangnya mengetahui bahawa Najib dikenakan kedua-dua hukuman, iaitu pemenjaraan dan denda.

Oleh itu, pembayaran denda tidak sepatutnya membawa maksud hukuman penjara turut terhapus, sebaliknya membolehkan baki hukuman dilaksanakan mengikut bentuk tahanan rumah seperti yang diperuntukkan dalam perintah pengampunan berkenaan.

“Tidak mungkin suatu mahkamah yang sedia maklum bahawa Najib dikenakan hukuman penjara dan denda memaksudkan istilah discharge sebagai melupuskan hukuman penjara yang belum dijalani.

“Tiada asas untuk Jabatan Peguam Negara menjadi terkeliru tentang perkara ini kerana pembayaran denda tidak pernah secara undang-undang beroperasi melunaskan hukuman penjara yang belum dijalani,” tegasnya.

Hasnal berkata, walaupun perintah mahkamah mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta selepas pembayaran denda, beliau masih tertakluk kepada kewajipan menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Sehubungan itu, beliau menegaskan AGC tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan secara unilateral pelaksanaan perintah pengampunan yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam apa keadaan sekalipun, Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk menangguhkan perintah pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong secara unilateral,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan mengekalkan Najib di penjara sementara AGC mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah tersebut sebagai sesuatu yang tidak adil.

Menurutnya, sekiranya benar terdapat persoalan undang-undang yang memerlukan penjelasan, perkara itu tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk terus menafikan pelaksanaan tahanan rumah selepas syarat pembayaran denda dipenuhi.

“Jika Jabatan Peguam Negara ingin meleraikan kekusutan minda mengenai interpretasi perintah pengampunan, ia tidak adil dilakukan sementara Najib kekal di dalam penjara.

“Tahanan rumah Najib mesti bermula serta-merta,” tegasnya.

Semalam, pasukan peguam Najib yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut menolak pendirian AGC berhubung penangguhan pelaksanaan tahanan rumah tersebut.

Peguamnya mengesahkan Najib masih berada di Penjara Kajang ketika kenyataan AGC dikeluarkan, walaupun proses untuk membolehkan beliau menjalani tahanan rumah sedang dilaksanakan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat