Bekas Adun Amanah dilepas tanpa bebas kes serangan seksual

- Advertisement -

SHAH ALAM – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tuduhan melakukan serangan seksual bagi mencabul kehormatan seorang jurujual wanita, dua tahun lalu.

Peguam, Abdul Aziz Hamzah yang mewakili pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, Majistret Mohamad Suffian Jaafar memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang difailkan pada 17 Ogos lalu.

“Betul, pihak pendakwaan (AGC) telah menerima representasi kami. Alhamdulillah, dokumen berkenaan berdasarkan asas dan fakta,” kata peguam itu ketika dihubungi media.

Pada 9 Jun 2021 lalu, Muhammad Faiz mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta dari pusat beli-belah Sunway Pyramid ke Subang Jaya di sini, antara jam 9.45 dan 11.30 malam, pada 8 Mac 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sebelum ini media melaporkan polis sedang menyiasat seorang ADUN dari sebuah negeri di utara semenanjung atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai yang juga ahli partinya.

Minggu ini sahaja, tiga pemimpin politik dilepaskan oleh mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah, berdasarkan alasan yang dikemukakan sebelum ini.

Selain Muhammad Faiz, pada Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Serentak pada Khamis, Mahkamah Tinggi yang sama melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, masing-masing tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM2.8 juta. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat