Setiap Negara Bangsa Perlu Berani Wujudkan Dunia Multipolar Yang Aman Damai – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Setiap negara bangsa perlu berani untuk mengorak langkah bagi mewujudkan dunia multipolar yang aman damai, menghormati diplomasi antarabangsa dan mewujudkan hubungan sejagat yang sejahtera.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari perspektif Malaysia, tiada negara yang boleh hidup terasing.

Justeru, katanya, semua negara harus menerima dan menyesuaikan diri dengan pengagihan kuasa baharu dalam mencorak masa hadapan yang lebih makmur, mapan dan saksama.

Bagi Malaysia, Ismail berkata, negara ini sentiasa mengamalkan sikap mesra dan terbuka untuk menjalinkan persahabatan dengan mana-mana negara.

“Melihat dari sudut ekonomi dalam dunia multipolar ini, terdapat beberapa negara membangun muncul sebagai kuasa ekonomi baharu.

“Beberapa yang lain pula sedang bergerak ke arah menjadi pemangkin pertumbuhan tambahan, manakala ada yang berusaha untuk mencapai potensi dalam sistem baharu ini.

“Menjelang 2040, negara-negara Asia dijangka menguasai separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia serta 40 peratus daripada kuasa beli global (global consumption), dan sebahagian besarnya berasal daripada negara-negara Asia Tenggara.

“Hampir 60 peratus daripada perdagangan di Asia adalah di kalangan negara-negara Asia sendiri. Ini jelas membuktikan bahawa Asia mampu mempengaruhi tren atau arah aliran perdagangan dunia dengan mengambil pendekatan bersifat serantau,” katanya.

Ismail berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara atas talian pada Forum Ekonomi Timur Ketujuh (EEF) yang bertemakan “On the Path to a Multipolar World”.

EEF edisi ketujuh itu berlangsung secara fizikal di Vladivostok, sebuah bandar yang terletak di Timur Jauh Rusia bermula dari 5 September hingga 8 September.

Forum itu ditubuhkan pada 2015 bertujuan untuk menyokong pembangunan ekonomi Timur Jauh Rusia dan mengembangkan kerjasama antarabangsa di rantau Asia-Pasifik.

Selain itu, dalam sesi plenari EEF secara dalam talian itu, Ahli Parlimen Bera berkenaan berkata Malaysia berpegang teguh kepada prinsip Kepaksian ASEAN serta prinsip-prinsip asas lain seperti saling bekerjasama, menghormati kedaulatan negara serta semangat membantu negara-negara anggota bagi mencapai keamanan dan kemakmuran serantau.

Sehubungan itu, Malaysia sebagai salah sebuah negara pengasas perkumpulan ASEAN akan terus memainkan peranan penting dalam pembinaan komuniti ASEAN dan integrasi serantau, katanya.

“Menjadi harapan Malaysia agar semua rakan dialog ASEAN, memberi perhatian dan menghormati prinsip ini,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail turut memberi penekanan bahawa dunia kini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran dari segi ketidaktentuan ekonomi, kesihatan awam, geopolitik sehingga perubahan iklim.

Cabaran yang dihadapi memberi impak tidak terjangka kepada dunia. Masyarakat antarabangsa sewajarnya memberi perhatian kepada isu-isu keselamatan bukan tradisional terutama sekuriti makanan, kata Ismail.

Oleh itu, Ismail menegaskan, satu perspektif menyeluruh terhadap pelbagai ancaman keselamatan sejagat ini perlu diambil kira supaya satu penyelesaian bersifat komprehensif dapat dirangka dan dicapai secara bersama.

“Persepsi ketidaksamarataan (perceived imbalances) baik dari segi kuasa politik, kuasa ekonomi mahupun tahap pembangunan yang jauh berbeza di antara negara dan di antara rantau berlainan, perlu diakui dan ditangani dengan berhemah, terutamanya oleh kuasa-kuasa besar, selaku pemain utama politik dan ekonomi di peringkat antarabangsa.

“Oleh yang demikian, sebarang penyelesaian yang mahu dicari tidak sepatutnya hanya menguntungkan satu pihak semata-mata tetapi seharusnya melibatkan semua pihak.

“Negara-negara yang masih percaya pada hegemoni akan hanya mewujudkan perbalahan, ketegangan dan ketidakstabilan dalam aspek politik dan sosial. Manakala dasar sekatan sehala (unilateral sanction) yang diperkenalkan kuasa-kuasa besar dunia, telah mengakibatkan ketidakstabilan rantaian bekalan dalam meneruskan pengoperasian sektor pembuatan,” ujarnya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat