Analisis Kewangan SPRM Bebaskan Azeez Daripada Rasuah – Peguam Beritahu Mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Mahkamah Rayuan diberitahu laporan analisis kewangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini membebaskan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tuduhan membabitkan rasuah.

Dalam penghujahan, peguam bela Amer Hamzah Arshad memberitahu, di sebalik laporan itu, anak guamnya itu masih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan projek jalan raya di Kedah dan Perak serta pengubahan wang haram

Memetik MalaysiaKini, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur pada Isnin mendengar hujah peguam itu atas rayuan Azeez untuk membatalkan 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haramnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Baling itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan sepuluh tuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Muhammad Jamil dalam keputusan memberitahu, kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang tertuduh gagal membuktikan bahawa tuduhan itu tidak berasas, cacat atau dilakukan dengan niat jahat oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Azeez untuk menangguhkan perbicaraan utama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding dalam talian semalam di hadapan sidang hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Amer berhujah pertuduhan itu tidak dapat dipertahankan sekiranya laporan SPRM sendiri menyatakan Azeez tidak melakukan kesalahan.

Menurutnya, laporan yang dikemukakan oleh Unit Analisis Kewangan mendedahkan penemuan bahawa penerimaan pendapatan adalah sah.

Malah katanya, SPRM mengakui syarikat Menuju Asas Sdn Bhd telah menggajikan Azeez secara sah dan oleh itu, beliau tidak dapat menerima hasil yang tidak sah daripada majikannya.

“Saya berhujah sekarang bahawa perkara (laporan siasatan SPRM) itu tidak boleh berubah-ubah. Sebaliknya, anda mengatakan dia (Azeez) menerima wang yang sah, kemudian anda mengatakan dia menerima hasil haram daripada majikan yang sama.

“Laporan ini tidak dibantah oleh SPRM. Tiada satupun pertuduhan yang dapat dipertahankan di mahkamah,” kata Amer.

Semasa prosiding dalam talian di Mahkamah Rayuan, peguam itu juga mengulangi hujahannya bahawa 13 tuduhan terhadap Azeez itu cacat dan menafikan kemampuan perayu untuk memahami dan bertindak balas dengan betul.

Pada akhir prosiding, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Oktober depan untuk mendengar balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Azeez.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali antara hakim yang mendengar kes ini.
Pendakwaan hari ini terdiri daripada timbalan pendakwa raya Aslinda Ahad dan Nik Haslinie Hashim.

Azeez menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah RM5.2 juta berkaitan dengan projek jalan raya di Kedah dan Perak.

Dia juga menghadapi 10 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM13.9 juta, yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas.

Kesalahan rasuah itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor, pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.

Berkaitan dengan tuduhan pengubahan wang haram, Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Lembah Klang, antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat