SEPANG, – Cubaan seorang lelaki warga India untuk menyeludup keluar lebih 2,500 ekor kura-kura spesies Red-eared Slider bernilai anggaran RM348,000 berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam kelmarin.
Lelaki terbabit yang dijadual menaiki penerbangan ke Bengaluru, India ditahan pada jam 10.05 malam di Pintu Perlepasan, hasil tindakan pantas pasukan penguat kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA dengan kerjasama anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Menurut kenyataan AKPS, hasil maklumat risikan telah membawa kepada pemeriksaan imbasan bagasi milik suspek yang menunjukkan imej mencurigakan. Pemeriksaan lanjut menemui ribuan ekor kura-kura yang disembunyikan dalam bagasi berkenaan.
“Kesemua hidupan liar tersebut telah disita dan diserahkan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686],” jelas kenyataan itu.
Kejayaan operasi ini adalah hasil pemeriksaan bersepadu melibatkan AKPS KLIA, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), AVSEC dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
AKPS dalam kenyataan sama turut menegaskan komitmen berterusan mereka dalam mempertingkat kawalan sempadan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar yang bukan sahaja mengancam biodiversiti negara, tetapi juga menjadikan Malaysia sebagai transit jenayah rentas sempadan.



