Lelaki Mengaku Salah Guna Pedang Samurai Tetak Pengawal Keselamatan

- Advertisement -

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan dengan pedang dalam kejadian Khamis lalu.

Tertuduh, R. Subramaniam, 41, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didapati dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail Ahmad, 58, menggunakan sebilah pedang di kawasan pos pengawal di tapak projek perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini, pada pukul 4.40 petang, 4 Ogos lalu.

Subramaniam didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan jatuh hukuman kerana masih belum memperoleh laporan perubatan penuh mangsa.

Roslan turut menetapkan wang jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sehingga kes selesai.

Dalam kejadian terbabit, lelaki itu didakwa bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas mangsa menegurnya kerana menunggang motosikal secara berbahaya di tapak projek di kawasan perumahan itu.

Suspek kemudian datang semula bersama dua lagi rakan dan menetak mangsa dengan sebilah pedang samurai menyebabkan Ismail mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, dua rakannya yang turut ditahan selepas kejadian itu diberi jaminan polis kerana tidak terlibat mencederakan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan meminta orang ramai menghentikan penyebaran kes berkenaan dalam media sosial kerana ia didapati bercanggah dengan kejadian sebenar dan dikhuatiri boleh mencetuskan kegemparan awam.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak sensasikan kejadian ini termasuk membuat andaian ia melibatkan isu perkauman kerana siasatan kita mendapati kes ini hanya membabitkan rasa tidak puas hati akibat ditegur mangsa,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat