Misi Zahid Hamidi Bawa UMNO Keluar Daripada Kerajaan PN Gagal

- Advertisement -

PETALING JAYA: Misi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk  membawa parti UMNO keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan menjadi kenyataan dan gagal sehingga tiba tempoh pembubaran Parlimen.

Ini berpunca keenganan segelintir ahli parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan tidak menyokong usaha Ahmad Zahid dan perancangan Presiden UMNO itu dilihat terus kabur susulan faktor di luar kawalan beliau.

Memetik laporan Utusan, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, UMNO harus menerima hakikat buat masa ini pemimpin di luar kerajaan PN sekarang tiada seorang pun yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Malah, UMNO tidak akan mampu membentuk kerajaan kukuh dan meyakinkan dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa kerjasama parti lain sama ada PKR, PN atau Pas.

“Hasrat ini tidak akan menggugurkan Perdana Menteri kerana Parlimen belum pun bersidang dan kemungkinan besar usul undi tidak percaya tidak akan dikemukakan di Dewan Rakyat.

“Kalau pun mandat diberikan semula kepada rakyat dan membuka jalan kepada pilihan raya, ini juga mustahil berlaku kerana negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 yang tidak terkawal

“Inilah yang dikatakan berlaku perpecahan dalam UMNO, cuma, saya tidak nafikan akan tiba masanya ahli-ahli Parlimen UMNO terutama pemimpin yang didakwa ‘ingkar’ terhadap presiden untuk menarik diri daripada kerajaan tetapi masanya belum pasti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Senada dengan Azmi, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, UMNO akan menjadi tidak relevan jika Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kekal sebagai Presiden walhal beliau tidak lagi berfungsi.

Menurut Kartini, UMNO perlu mengambil langkah drastik dengan mengadakan pemilihan segera untuk memilih kepimpinan baharu serta menetapkan visi jelas keluar daripada perpecahan.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Muis berkata, kelebihan pada UMNO berbanding parti lain adalah sokongan daripada akar umbi namun yang bermasalah ialah barisan kepimpinan tertinggi yang tidak menunjukkan perubahan ketara.

“Sebagai parti yang hilang kuasa dan sebahagiannya berpunca daripada krisis integriti, hakisan kepercayaan masyarakat, mereka harus menangkis persepsi ini jika ada sesiapa yang mahu menjadi presiden. Kalau tidak, maka lambat lagilah UMNO nak kuat seperti dahulu,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,574FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat