Kastam arah lori bawa kontena Israel berpatah balik ke Thailand

- Advertisement -

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kedah mengarahkan sebuah lori kontena yang baharu tiba di Bukit Kayu Hitam pada Khamis (Semalam) berpatah balik ke Thailand selepas didapati kontena yang dibawa adalah berasal dari Israel.

MTT (Menanggung Tugas-Tugas) Pengarah Kastam Negeri Kedah, Suhaime Affindi Zainol Abidin berkata, lori treler membawa kontena berlogo syarikat ZIM Israel mengandungi dagangan peralatan komputer dikesan cuba memasuki Malaysia melalui Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Bagaimanapun JKDM Kedah telah menghalang lori bernombor pendaftaran asing dari Thailand yang cuba masuk melalui pintu masuk itu lebih kurang jam 12 tengah hari.

“Kenderaan terbabit ingin memasuki Malaysia dengan melakukan pengikraran Borang K1 bagi tujuan pengimportan dagangan ke dalam negara Malaysia.

“Hasil penelitian, anggota JKDM Kedah, kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ‘ZIM’ yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut.

“Susulan itu, kenderaan terbabit telah ditahan untuk mendapat pengesahan dan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, lori dengan kontena berisi dagangan tersebut kemudiannya diarah berpatah balik ke negara jiran.

Menurut Suhaime Affindi, kenderaan terbabit didapati telah meninggalkan negara Malaysia pada jam 1.30 tengah hari hari sama.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Menurutnya, orang ramai turut dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Tegas Suhaime Affindi, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan cubaan masuk sebuah lori kontena milik syarikat berpangkalan dari Israel membawa muatan dagangan ayam sejuk beku ke dalam negara di pintu masuk ICQS Padang Besar, Perlis pada Ahad. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat