Hattan ‘biso bonar’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganjuran konsert solo, Datuk Hattan 35 Years Journey di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), selama dua malam bagaikan autobiografi buat penyanyi otai itu.

Buktinya, selama tiga jam beraksi dalam konsert berskala mega yang julung kali diadakan, Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin banyak berkongsi kenangan pahit manis sepanjang lebih tiga dekad berada dalam belantera seni.

Bagaikan wayang gambar yang berputar, satu demi satu kisah menarik mengenai permulaan kerjaya nyanyian dikongsi bersama penonton.

Ada yang lucu, boleh dijadikan iktibar dan ada juga yang boleh menyebabkan air mata mengalir. Antara kisah sedih yang dikongsikan Hattan mengenai pengorbanan arwah ibunya untuk melihatnya berjaya mengejar cita-cita.

“Pada awalnya, arwah ayah dan emak agak keberatan mengizinkan saya bermain muzik. Mereka mahu saya menyambung pengajian.

“Tetapi, saya ambil keputusan untuk bekerja. Suatu hari, saya pulang ke kampung dan terfikir macam mana nak mulakan kerja bermain muzik.

“Kami orang susah, tetapi emak tetap hulur RM20 kepada saya. Saya tahu mak bukan ada banyak duit, mungkin duit ini mahu membeli beras.

“Namun, kerana anak, emak beri juga. Dari situ, saya berjanji takkan sia-siakan duit ini,” cerita Hattan sambil menahan sebak.

Kisah menarik lain turut diceritakan Hattan adalah mengenai hubungannya dengan insan seni hebat yang berjaya membawa namanya pada kedudukan hari ini iaitu Datuk M Nasir dan insan seni lain seperti penulis lirik terkenal, Bob Lokman yang kini sedang berjuang melawan penyakit jantung.

Sebagai penghargaan, penyanyi bersuara ‘jantan’ ini turut mengadakan segmen khas menyaksikan Hattan menyanyikan lagu yang dicipta M Nasir seperti Gerhana, Duit, Sekuntum Mawar Merah dan Tiara.

Ketika menyanyikan lagu Arca yang liriknya ditulis oleh Bob, anak jati Seri Menanti, Negeri Sembilan itu turut meminta penonton untuk mendoakan Bob segera sembuh.

 

Hattan bersama barisan pemuzik handalan yang mengiringi persembahannya dalam konsert berdurasi 180 minit itu. – Foto Ihsan Mewah Event Management

 

Melunaskan janji dilafazkan ketika sidang media konsert sebelum ini, Hattan bukan sahaja memberi hiburan, tetapi mengajak penonton kembali bernostalgia menerusi koleksi lagu popular dendangannya.

Hasilnya, emosi penonton larut dalam kesyahduan vokal Hattan yang seakan merintih, terutama ketika menyanyikan untaian bernada melankolik seperti Meniti Perjalanan, Rendang Tak Berbuah, Dari Kekasih Kepada Kekasih dan Memburu Rindu.

Usai melayan jiwa penonton dengan lagu ratapan hiba, bekas vokalis kumpulan Five Rockers Union atau FRU itu merubah atmosfera dewan dan mood penonton dengan lagu rancak seperti Kelentong Dol Hancing, Satu Malaya Dan Tahu dan Samba Apa Sahaja.

Bukan satu masa yang singkat untuk Hattan mengecapi apa yang berjaya digapai saat ini namun, semua itu dapat disimpulkan dalam konsert berdurasi 180 minit itu.

Keampuhan vokal Hattan tidak perlu dipersoalkan kerana suaranya berjaya membuai emosi penonton untuk larut dalam nyanyiannya.

Stamina lelaki ini juga cukup hebat kerana pada usia 57 tahun, Hattan masih bertenaga untuk bergerak aktif di atas pentas dan tidak nampak kepenatan.

Melengkapi kecemerlangan penganjuran konsert ini adalah sistem bunyi dan penataan cahaya berkualiti, sekali gus, menjadikan autobiografi Hattan ini sebagai sesuatu yang luar biasa.

Markah bonus juga wajar diberikan kepada penyanyi berkulit hitam manis ini kerana sepanjang beraksi, Hattan dilihat selesa berkomunikasi menggunakan dialek Negeri Sembilan yang menjadi tanda dagang dalam media sosial, sekali gus membuatkan penonton berasa cukup dekat dengannya.

Pada konsert itu, Hattan turut berpadu suara dengan anak terunanya, Adam Eiman menerusi lagu Gadis Jolobu. Menjelang konsert, Hattan berlatih di studio selama 12 jam dan melakukan aktiviti jogging untuk menguatkan stamina.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat