Latheefa Koya Persoal Amaran Keras PM, Bangkit Isu ‘Kuil Haram’ dan Tindakan Terpilih

Latheefa Koya Persoal Amaran Keras PM, Bangkit Isu ‘Kuil Haram’ dan Tindakan Terpilih

KUALA LUMPUR — Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, mempersoalkan amaran keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi peringatan akan mengambil “tindakan maksimum” terhadap mana-mana pihak yang mengganggu keselamatan negara, khususnya berkaitan isu perhimpunan dan ketegangan melibatkan rumah ibadat.

Menerusi satu hantaran di platform X, Latheefa mempersoalkan mengapa ketegasan sedemikian hanya dizahirkan ketika negara menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, sambil menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara hukum dan seseorang tidak boleh diancam dengan tindakan sebelum melakukan sebarang kesalahan.

“Walaupun apa yang diperjuangkan Zamri Vinoth adalah menjelekkan, Perdana Menteri tidak boleh sewenang-wenangnya mengancam penahanan sebelum sebarang jenayah dilakukan. Ini negara hukum,” katanya, sambil menambah bahawa hak berhimpun tetap wujud selagi tidak menghasut kebencian.

Latheefa turut mengkritik kegagalan kerajaan menunjukkan kepimpinan moral sejak isu pelabelan “kuil haram” digunakan secara meluas sejak tahun lalu, yang menurutnya telah menyumbang kepada ketegangan kaum dan agama.


Beliau juga mengaitkan polemik tersebut dengan kenyataan Anwar sebelum ini yang melabelkan sebuah kuil di Masjid India sebagai “tidak sah”, ketika mengulas permohonan agar kuil dan masjid dibenarkan wujud secara bersama. Susulan itu, Perdana Menteri melancarkan Masjid Madani dan mengisytiharkan tindakan tersebut sebagai satu kemenangan.

Menurut Latheefa, kenyataan tersebut bersifat tidak cermat dan telah mencetuskan suasana tidak sihat dalam masyarakat.

“Kata-kata itu merosakkan dan mewujudkan keadaan yang tidak sihat dalam negara,” ujarnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengapa tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth walaupun terdapat banyak laporan dibuat terhadap individu berkenaan sebelum ini.

“Adakah undang-undang hanya dikuatkuasakan kerana Modi berada di Malaysia? Dan selepas Modi pulang, adakah Perdana Menteri akan kembali berdiam diri mengenai isu ‘kuil haram’?” soal beliau.

Latheefa menegaskan, sekiranya Anwar benar-benar prihatin terhadap hubungan kaum dan agama, beliau perlu mengambil tanggungjawab terhadap kenyataan “kuil tidak sah” yang dibuat sebelum ini serta secara terbuka menyeru agar polemik ‘kuil haram’ dihentikan.

“Persoalannya, adakah beliau sanggup berbuat demikian?” katanya.

Sebelum ini, Anwar memberi amaran keras bahawa kerajaan akan mengambil tindakan maksimum, termasuk penahanan, terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keselamatan negara dan ketenteraman awam, khususnya ketika Malaysia menerima tetamu negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat