Oleh Zihan Zari
KEPONG – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menggariskan komitmen baharu dalam memperkukuh benteng pertahanan khazanah alam melalui pemerkasaan teknologi digital dan modal insan berkaliber tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata sinergi antara teknologi pintar dan integriti manusia adalah kunci utama bagi memastikan kelestarian Hutan Simpanan Kekal di seluruh negara.
“Tahun 2026 merupakan tahun pelaksanaan dan pecutan bagi agenda kelestarian alam. Pemeliharaan alam bukan sekadar tugas rutin, tetapi amanah yang memerlukan kebijaksanaan manusiawi, ”kata beliau dalam ucapan perasmian Penganugerahan Sijil Perhutanan Renjer Hutan (KSPRH) Sesi 2023-2025 dan Sijil Perhutanan Pengawas Hutan (KSPPH) Sesi 2024-2025 Ke -37 Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) di Dewan Alwy, Bahagian Latihan Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) , dekat sini baru-baru ini.
Teks ucapan Arthur dibacakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPSM, Dato’ Hj. Zahari Ibrahim; Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan NRES, Siva Kumar a/I Solay Rajah; dan Pengarah Bahagian (Latihan Perhutanan) JPSM, Dato’ Norhaidi Yunus.
Arthur berkata, penguasaan teknologi moden seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderitaan jauh, dan dron adalah penting dalam mendepani cabaran perhutanan masa kini. Teknologi hanyalah alat bantu, manakala tindakan manusia di lapangan tetap menjadi penentu.
“Dron boleh memantau dari udara, tetapi andalah yang bertindak di lapangan. Gabungan teknologi pintar dan institusi renjer hutan adalah benteng pertahanan negara yang sebenar,”katanya.
Menurut beliau, 113 graduan yang diraikan hari ini sebagai ‘Graduan Abad Ini’. Gelaran ini diberikan bersempena ulang tahun Ke-100 penubuhan FORTRAIN, sekali gus meletakkan harapan besar di bahu para graduan untuk menetapkan tanda aras baharu bagi pengurusan hutan untuk 100 tahun akan datang.
Majlis penganugerahan diberikan sebagai pengiktirafan kepada petugas lapangan yang memainkan peranan kritikal dalam memastikan kelestarian hutan dan keselamatan sumber asli negara.
Menurut Arthur, sehingga kini, FORTRAIN telah melahirkan seramai 6,369 graduan yang berkhidmat dalam pelbagai sektor seperti ekopelancongan, pengurusan sumber asli, dan landskap di seluruh negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pembangunan dua bangunan asrama baharu di FORTRAIN.
Ujarnya, fasiliti ini menyediakan 98 bilik yang mampu menempatkan 196 pelatih pada satu satu masa, bertujuan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih holistik dan
kondusif.
Arthur menyeru para graduan agar menjadikan integriti sebagai kompas utama dalam menyumbang kepada kelestarian hutan buat generasi akan datang.
Tambahnya, komitmen berterusan NRES dan JPSM dalam melahirkan modal insan berkemahiran, berintegriti dan berdaya saing demi memastikan pengurusan hutan negara yang lestari dan mampan.
Dalam pada itu, pelatih FORTRAIN telah bergraduat terdiri daripada 24 orang diberikan
Sijil Perhutanan Renjer Hutan (KSPRH) dan 89 orang pelatih bagi Sijil Perhutanan Pengawas Hutan (KSPPH).
Bagi Pelatih kategori Dendrologi, Akademik dan Keseluruhan bagi Renjer Hutan telah dimenangi oleh Mohamad Hanif Abd Wahab, dan Kategori Lapangan oleh Muhammad Faiz Zakaria.
Manakala bagi Pengawas Hutan, Kategori Dendrologi dan Keseluruhan dimenangi oleh Mohd Firdaus Ahmad, kategori Akademik dimenangi oleh Muhammad Nur Aiman Rozali, dan kategori Lapangan pula disandang oleh Tengku Hazrul Hafiz Tengku Zulkifli.-SUARA.TV



