KUALA LUMPUR -Peranan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah adendum berkenaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak tidak boleh diperkecilkan.
Mendedahkan perkara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat Tan Sri Annuar Musa memberitahu, walau dalam keadaan tersepit, Zahid telah bekerjasama dengan pasukan peguam yang mewakili Najib.
Hal ini katanya selepas kes awalan gagal di Mahkamah Tinggi namun, ada pihak semakin yakin dengan percubaan menyembunyi dan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Semalam terbongkar kedudukan sebenar kewujudan titah adendum, ia mula berbangkit di Parlimen melalui satu soalan daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tapi ia tidak begitu menjadi perhatian.
“Namun apabila Najib membawanya ke mahkamah dengan afidavit Zahid dan lain-lain,ia menarik perhatian umum.
“Maka dari situ drama bermula. Justeru peranan Zahid tidak boleh diperkecilkan.Walau dalam keadaan tersepit,beliau berkerjasama dengan team peguam Bossku,” dedah bekas Setiausaha Agung Umno itu dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Kata Annuar lagi, di sini tampil peranan pembangkang dan NGO meningkatkan sokongan dan dukungan kepada usaha Najib.
“Mereka dalam kerajaan cuba dijinakkan oleh sang penguasa,namun Pas; Bersatu; NGO NGI dan rakyat kekal istiqamah menentang penderhakaan terhadap titah Agong.
Akhirnya semalam kita mendapat jawapan tuntas.
“Demikian hebatnya bila kita muafakat dan bersatu.Ada pihak dalam ketakutan dengan kuasa muafakat dan bersatu ini.
“Justeru kita harus akui peranan semua pihak. Peranan Zahid dan Umno tetap besar.Apa lagi bila peranan itu di letak pada tempat yang wajar. Begitulah seterusnya Insya-Allah,” kata Presiden Muafakat Nasional (MN) itu lagi.