KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah sekali gus tidak perlu meletakkan jawatan seperti didesak segelintir pihak.
Hal ini kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, pihak yang patut menjawab tentang kewujudan titah adendum adalah Peguam Negara (AGC) atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara (AGC).
Anwar Ibrahim secara peribadi dan sebagai Perdana Menteri tidak boleh menjawab secara sewenang-wenang sama ada titah adendum itu ada atau tidak ada.
“Pihak yang patut menjawab di mahkamah bukan PM Anwar Ibrahim tetapi Peguam Negara atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara. Hal ini telah ditimbulkan oleh salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Najib Razak pada 6 Januari, semalam.
“Seperti yang disebut oleh hakim berkenaan, bahawa pihak Jabatan Peguam Negara telah gagal memfailkan afidavit untuk menyatakan sama ada titah adendum itu wujud atau tidak. Kegagalan Jabatan Peguam Negara itu tidak sepatutnya dibebankan ke bahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memikulnya.
“Jadi Anwar Ibrahim tidak bersalah. Beliau tidak perlu meletakkan jawatan Perdana Menteri seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak. Sebaliknya sikap dan pendirian Anwar Ibrahim yang menghormati kebebasan kehakiman dalam soal titah adendum ini patut dihormati dan dipuji,” tegas wakil rakyat dari PKR itu.
Mengulas lanjut Hassan berkata, pihak yang menang di Mahkamah Rayuan Malaysia semalam berkenaan rayuan Najib Razak berkaitan permohonan kebenaran semakan kehakiman adalah dua pihak yakni pertama Datuk Seri Najib Razak dan kedua kebebasan institusi kehakiman.
Pun begitu kata beliau, Najib belum menang secara total.
“Beliau perlu berdepan satu perbicaraan penuh substiantif semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Di sana nanti, Najib mungkin menang atau mungkin kalah.
“Tetapi yang jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman.Dengan keputusan 2-1 hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bahawa keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan boleh dicabar dan disemak di mahkamah. Prinsip pemisahan kuasa berjalan baik di Malaysia,” ujarnya.
Dalam hal ini kredit atau pujian wajar diberi kepada Perdana Menteri Datuk SeriAnwar Ibrahim yang berulang kali menjawab dan menjelaskan di dalam Parlimen atau di luar Parlimen bahawa kerajaan dan beliau khususnya sebagai Perdana Menteri tidak boleh menggangu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim-hakim, kata Hassan.
“Oleh kerana Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong maka PM Anwar bukanlah pihak yang terlibat secara langsung tentang keputusan Lembaga Pengampunan itu.
“Begitu juga apabila Najib tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan beberapa pihak lain dalam kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara berkait isu titah adendum dan memfailkan semakan kehakiman di mahkamah maka ia sudah menjadi kes mahkamah.
“Apakah kita mahu Perdana Menteri Anwar campur tangan dalam kerja-kerja profesional peguam-peguam kerajaan yang disebut Federal Counsel dan Peguam Negara di Jabatan Peguam Negara? Tentu kita tidak mahu PM Anwar terpaksa lakukan sampai ke peringkat itu.
“Melihat dan mendengar Anwar menjawab di Parlimen dalam soal pengampunan Najib dan titah adendum saya sebagai seorang ahli parlimen backbencher kerajaan nampak bahawa PM Anwar memahami tugasnya dan tugas Jabatan Peguam Negara dan fungsi institusi kehakiman dalam prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman,” jelas Hassan lagi.