Keutamaan BN Sabah haruslah kepada meyakinkan pengundi – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa keutamaan Barisan Nasional (BN) di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ialah meyakinkan pengundi Sabah bahawa parti itu masih relevan, berani dan mampu menjadi peneraju masa depan negeri.

Menurutnya, keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah langkah tepat, namun kejayaan sebenar bergantung kepada usaha BN dalam menawan semula hati rakyat.

“BN Sabah mesti kekal bersatu padu kerana ini kunci utama untuk menang. Namun lebih penting ialah meyakinkan pengundi bahawa BN mampu membawa kestabilan, pembangunan, dan menjaga kebajikan rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Anuar menekankan bahawa landskap politik Sabah kini telah berubah dengan generasi muda menjadi penentu kepada masa depan mana-mana parti.

“Generasi muda penting. Mereka adalah penentu masa depan politik Sabah. Justeru usaha memenangi hati mereka mesti dipertingkatkan segera,” ujarnya.

Tambahnya, keputusan berani kepimpinan BN untuk menentukan haluan politik sendiri tanpa dikawal pihak lain memperlihatkan keupayaan parti itu membentuk politik Sabah mengikut aspirasi rakyat.

“Realitinya, ramai mahu melihat UMNO-BN Sabah tampil dengan keberanian politik demi masa depan. Kini masanya untuk BN meyakinkan rakyat Sabah bahawa parti ini bukan sekadar sebahagian daripada sejarah, tetapi mampu mencorakkan masa depan negeri,” katanya.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat