KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengingatkan sebahagian bekas pemimpin UMNO bahawa cubaan mereka untuk menghapuskan Barisan Nasional (BN) di Sabah mungkin sukar dan tidak lebih kepada angan-angan yang tidak berpijak pada realiti.
Menurut beliau, adalah ironi apabila ada pemimpin yang pernah membesar dan naik kerana BN, kini berusaha untuk memadamkan nama parti tersebut daripada persada politik negeri.
“Kenapa mereka buat begitu? Kerana BN masih menjadi saingan utama. Dengan melemahkan BN, mereka berharap parti mereka akan naik,” katanya dalam satu kenyataan.
Salleh menegaskan BN sudah lama bertapak di Sabah dan telah melalui pelbagai gelombang politik, namun tetap bertahan. Beliau menambah, parti baharu belum tentu lebih baik kerana banyak yang akhirnya hilang pengaruh apabila perjuangan tidak berterusan.
“BN tidak mudah hilang. Bahagian, cawangan dan penyokong tegar ada di seluruh negeri. Inilah kekuatan sebenar BN yang tidak boleh digugat,” katanya.
Sebagai contoh, Salleh merujuk Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 yang menyaksikan BN berjaya memenangi 14 kerusi DUN walaupun selepas gelombang politik besar pada 2018.
Jelas beliau lagi, rakyat masih merindui BN kerana parti itu telah berbudi dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat sejak sekian lama.
“Jika ada kelemahan, ia datang daripada segelintir pemimpin. BN sebagai parti tidak bersalah. Menyertai BN juga tidak bermakna kita hilang jati diri Sabah, kita tetap orang Sabah dengan perjuangan untuk rakyat negeri ini sebagai keutamaan,” tambahnya.
Salleh berkata, sebab itu penting untuk melibatkan generasi muda agar mereka memahami serta meneruskan perjuangan BN supaya ‘DNA BN’ sentiasa hidup.
“Kesimpulannya, cubaan menghapuskan BN hanyalah angan-angan segelintir orang. BN tidak akan hilang dari bumi Sabah. Penyokong setia akan tetap bersama, dan BN akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah serta masa depan politik negeri ini,” tegasnya.
Tulisan terbaharu Salleh yang bertajuk “Cubaan Hapuskan BN di Sabah” ini dipercayai merujuk kepada para pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang pernah menjadi pemimpin UMNO.
Semalam Salleh mendedahkan bagaimana GRS hanya sanggup berkompromi 8 kerusi dengan BN walaupun BN telah memenangi 14 kerusi dalam PRN lepas. – Suara.TV



