Isu Keabsahan Bukan Keperluan Undang-Undang, Cuma Asas Moral Kepada Kedudukan PM – Aziz Bari

- Advertisement -

IPOH: Kenyataan media Jabatan Peguam Negara semalam berhubung keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri menggambarkan kekeliruan dan kecelaruan dari sudut perlembagaan khususnya dalam proses tersebut.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Abdul Aziz Bari ketika berkata demikian menjelaskan bahawa isu keabsahan (legitimacy) bukan keperluan undang-undang.

Menurut beliau, apa yang menjadi persoalan ialah isu yang lebih bersifat politik atau asas moral kepada pelantikan dan kedudukan Perdana Menteri.

“Seruan supaya diadakan usul percaya (motion of confidence) adalah supaya pelantikan tersebut disahkan.

“Meskipun ia bukan keperluan undang-undang, ia tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Bahkan, kata beliau, dengan adanya amalan tersebut sebelum ini, khususnya pada 1976 dalam pelantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri ketiga, ia sudah menjadi sebahagian daripada amalan dan tradisi Perlembagaan negara.

Abdul Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menyarankan usul tersebut dan kenyataan Peguam Negara adalah aneh dan menimbulkan persoalan.

“Ini dengan sendirinya menolak andaian Peguam Negara yang usul berkenaan mempersoal kuasa Yang Di-Pertuan Agong.

“Sepatutnya Peguam Negara menyokong cadangan yang jelas boleh menyuburkan tradisi perlembagaan negara,” ujarnya.

Menurutnya, Peguam Negara perlu sedar bahawa Perlembagaan tidak terbatas kepada peruntukan yang ada semata-mata dan segala amalan yang selari dengan Perlembagaan juga perlu diperkasakan.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk baru-baru ini.

Beliau menegaskan pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan yang dibuat sebelum ini mengikut lunas undang-undang.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat