KUALA LUMPUR – Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin berpandangan melihat kepada prestasi Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya di pelbagai peringkat dan pergolakan dalam Kerajaan Perpaduan Madani adalah lebih logik kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk kekal sebagai Perdana Menteri ‘itik lumpuh’ daripada mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) awal dan, besar kemungkinan, kalah.
Wartawan veteran itu berkata, sekiranya DAP keluar, Anwar masih ada 113 kerusi, dengan syarat Ahli Parlimen lain kekal bersama beliau. Mana-mana Perdana Menteri memerlukan 112 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti mudah.
Tetapi kata A Kadir, dengan majoriti mudah seperti itu adalah sukar bagi beliau mewujudkan kerajaan yang stabil.
“Kerajaan beliau akan jadi “lame duck” (itik lumpuh) atau dalam bahasa utara itik mantah.
“Walaupun ada tinjauan mengatakan kadar kelulusan (approval rating) Anwar sentiasa mendahului pemimpin-pemimpin lain, ia tidak semestinya diterjemah kepada undi,” ujar bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times itu.
A Kadir berkata demikian susulan, kedengaran banyak cakap mengenai kemungkinan Kerajaan Perpaduan Madani pimpinan Anwar tidak akan kekal sehingga akhir penggal Parlimen sekarang.
Jelas beliau, tarikh luput Parlimen ke-15 adalah Disember 2027 iaitu lima tahun selepas sidang pertamanya pada 19 Disember 2022. Pilihan Raya Umum Ke-16 wajib diadakan selewat-lewatnya 17 Februari 2028.
“Penanda paling jelas dan kuat adalah keputusan DAP membentangkan cadangan bagi menentukan, secara pengundian sulit sama, ada ia patut kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
“Parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) dan kedua terbesar dalam Parlimen itu akan melakukan pengundian di Kongres Kebangsaannya pada 16 Ogos ini. Seramai lebih 4,000 perwakilan dijangka mengundi.
“Andai kata perwakilan DAP mengundi untuk tidak terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, Anwar masih ada majoriti untuk memerintah tetapi ibarat telur di hujung tanduk.
“Sekarang Anwar mendakwa ada 153 kerusi yang terdiri daripada Pakatan Harapan (79), Barisan Nasional (30) dan parti-parti Sarawak dan Sabah serta Ahli Parlimen bebas mesra kerajaan (44).
“Kalau Ahli-ahli Parlimen lain berasa mereka hendak tubuh kerajaan baru, mereka boleh melakukannya. Malah kalau Perikatan Nasional, BN, parti-parti Sarawak dan Sabah serta Ahli Parlimen bebas boleh berpakat, mereka ada kira-kira 150 kerusi.
“Cuma adakah berbaloi menyingkirkan Anwar pada saat ini dan melantik Perdana Menteri baru untuk tempoh kira-kira setahun empat bulan sebelum Parlimen dibubarkan? soal beliau.
Namun A Kadir berkata, ia bergantung kepada undian DAP pada 16 Ogos nanti, Anwar boleh kekal memerintah dengan majoriti mudah, merundingkan pakatan baru atau membubarkan Parlimen.
“Dengan prospek dan pilihan yang ada, mungkin beliau akan memilih untuk terus memerintah sehingga penghujung penggal.
“Sekurang-kurangnya beliau boleh mencatat sejarah peribadi sebagai Perdana Menteri bukan BN yang berjaya bertahan satu penggal penuh.
“Buat masa ini, prospek beliau menjadi Perdana Menteri penggal kedua adalah tipis. PH tidak menang dalam PRU lalu. Ia hanya mampu tubuh kerajaan dengan penyertaan BN. Selepas itu disertai parti-parti Sarawak dan Sabah.
“Sejak itu, segala petunjuk menjurus ke arah kemerosotan sokongan yang berterusan terhadap PH, khususnya PKR dan Amanah,” katanya.



