KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ada menerima Sembilan laporan polis daripada pihak Lembaga Tabung Haji (TH), anak syarikat TH dan orang awam berhubung kes jenayah komersial termasuk kes-kes yang dinyatakan di dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata lima kertas siasatan telah dibuka.
“Siasatan dijalankan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” menurut kenyataan media itu.
Datuk Rusdi berkata dalam usaha melengkapkan siasatan, tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan daripada saksi-saksi terlibat dari dalam serta luar negara di samping mendapatkan dokumen-dokumen yang berkaitan.
Menurut beliau, PDRM komited untuk memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya.
Beliau berkata Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang berjalan.
“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai 2026.
Keputusan untuk menyahklasifikasi laporan tersebut daripada dokumen berstatus rahsia kepada dokumen terbuka dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada tarikh yang sama.
Dokumen setebal 211 halaman tersebut telah diterbitkan tanpa sebarang tapisan atau suntingan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di portal rasmi mereka.
Laporan ini merangkumi siasatan terperinci terhadap pengurusan dan operasi kewangan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.



