Pemerkasaan Mahkamah Syariah Perlu Dilakukan Dengan Ihsan & Hikmah.

- Advertisement -

Oleh: YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita berkenaan pemenjaraan selama 7 hari Emilia Hanafi, seorang ibu yang mempunyai tiga anak. Hukuman penjara yang dikenakan terhadap beliau adalah disebabkan oleh keingkaran terhadap satu keputusan mahkamah syariah berkenaan isu lawatan/perjumpaan anak-anak beliau dengan bekas suaminya.

Coretan saya ini bukanlah untuk mempertikaikan atau mempersoalkan keputusan mahkamah, kerana saya percaya, hakim yang mendengar perbicaraan tersebut telah mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum keputusan dibuat. Namun begitu, sebagai seorang wanita dan ibu yang beragama Islam, saya merasakan sedikit kesal kerana hukuman penjara selama 7 hari itu adalah satu hukuman yang amat berat.

Pada hemat golongan “layman” seperti saya, tidak adakah cara lain untuk menghukum seorang wanita selain dari dikenakan hukuman penjara yang sebegitu lama. Sedangkan jika kita melihat prosiding komital atau penghinaan terhadap mahkamah di dalam kes-kes lain, hukuman seperti denda boleh sahaja diberikan dan hukuman penjara hanya akan dikenakan sekiranya mereka gagal untuk membayar denda tersebut.

Bagi kes Emilia Hanafi, beliau tidak diberikan opsyen tersebut dan apabila di dapati bersalah beliau terus dikenakan hukuman penjara 7 hari, yang mana setelah rayuan dibuat, ianya dikekalkan dan beliau harus terus menjalani hukuman tersebut di Penjara Wanita Kajang, Selangor.

Pada ketika warkah ini ditulis, Emilia Hanafi telahpun menjalani hukuman tersebut dan kini telah dibebaskan, namun begitu, saya amat khuatir sekiranya perkara ini akan menjadi satu duluan perundangan (legal precedent) yang akan memperlihatkan lebih ramai lagi wanita dipenjara, disebabkan oleh isu-isu berkenaan keluarga yang dibawa ke mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia.

Pada 22 Jun 2022, Kerajaan Malaysia telah mewujudkan satu Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS), yang dianggotai oleh 12 orang tokoh, untuk membincangkan cara terbaik bagi memperkasakan dan memartabatkan institusi Mahkamah Syariah di Malaysia.

Secara peribadi, saya amat bersetuju bahawa iltizam pemerkasaan ini perlu dilaksanakan bagi memartabatkan lagi institusi Kehakiman Syariah di Malaysia. Tetapi, saya juga berharap agar di dalam proses untuk memperkasakan institusi ini, kita harus juga mengambil kira pelaksanaan atau penguatkuasaan undang-undang yang diperkasakan dengan elemen ihsan dan hikmah, terutamanya dalam memberikan hukuman kepada para pesalah syariah wanita di negara kita.

Ini selaras dengan Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Nahl: 90 yang bermaksud “Sesunggunya Allah menyuruh kalian berlaku adil, dan berbuat kebajikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kalian (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kalian mengambil peringatan dengan mematuhi-Nya”.

Sebagai sebuah institusi yang menegakkan syiar Islam, yang mana Al-Quran & Hadith dijadikan sandaran utama, keadilan yang ditegakkan melalui institusi ini sewajarnya lebih kepada hukuman untuk mendidik orang awam, agar menjadi sebuah masyarakat madani yang benar-benar faham akan prinsip dan konsep keadilan dalam Islam.

Sebarang keputusan, hukuman dan penyelesaian yang diberikan oleh institusi Mahkamah Syariah sewajarnya menjadi contoh kepada sistem perundangan lain kerana sifatnya yang lebih kepada mendidik dan bukannya untuk menghukum.

Selain menambahbaik proses perundangan sedia ada, kita juga berharap agar setiap keputusan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Syariah selepas ini dipandang tinggi dan dihormati bukan sahaja oleh golongan muslim tetapi juga golongan bukan Islam yang melihat perkembangan sistem perundangan Islam dari luar.

Saya amat berharap agar JKMMS dapat membincangkan isu-isu ini di dalam cadangan dan solusi yang akan mereka bentangkan nanti. Semoga dengan pengukuhan dan aspek-aspek penambahbaikan yang dibuat, kita akan berupaya untuk meningkatkan lagi keupayaan Mahkamah Syariah Malaysia untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh muslimin dan muslimat di Malaysia dengan penuh ihsan dan hikmah.

YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin
Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi Malaysia
Pengasas & Pengerusi COMWEL
Presiden Designate Parti Bangsa Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat