SUNGAI BALANG – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor isu siapa khianat Felda.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu membuat desakan itu kerana tidak berpuas hati dengan kempen Najib yang menjaja cerita di Johor kononnya beliau adalah ‘hero Felda’.

“Saya cabar Najib Tun Razak, mari kita berdebat di Johor sebelum pilihan raya untuk isytihar siapa yang khianat kepada peneroka Felda di negeri Johor dan seluruh negara? tegas Azmin dalam ceramahnya malam tadi di DUN Sungai Balang.

Menurut Azmin beliau ingin menafikan omongan Najib kerana katanya, Felda dimusnahkan pada zaman pentadbiran Perdana Menteri ke-6 itu.

“Kita ada fakta, dengan pembelian Eagle High dan pembelian hartanah lain. Kertas Putih membuktikan pengkhianatan terhadap Felda dan peneroka Felda itu terlalu jelas.

“Oleh itu beliau tak boleh mendabik dada bahawa UMNO menyelamatkan Felda.

“Sebenarnya kepimpinan beliaulah menghancurkan peneroka dan masa depan Felda,” bidas Azmin.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu memberi tempoh masa kepada Najib untuk menyahut cabaran debat itu sebelum berlangsungnya PRN Johor 12 Mac ini.

“Sebelum PRN Johor, tak kisah debat maya atau bersemuka.

“Terpulang kepada dia, diakan bossmu bukan bossku,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Azmin juga menyatakan rasa kurang senangya apabila Najib masuk keluar kampung di Johor merayu undi untuk UMNO.

“Betullah Najib tak bertanding di Johor tetapi setiap malam dia merayau masuk kampung keluar kampung suruh sokong UMNO.

“Kononnya UMNO lah stabil, UMNO lah pandai, UMNO lah bijak tapi siapa cakap? perompak nombor wahid (satu) dalam negara.

“… yang saya marahnya dia boleh masuk dalam Felda. Orang Felda bagitahu saya Azmin, minggu lepas Najib masuk dia kata dialah hero Felda.

“La ilaha illallah hero apa? Memang benar sejarah Felda cetusan idea Almarhum Tun Abdul Razak buka tanah untuk kepentingan orang Melayu untuk kurangkan kemiskinan orang Melayu.

“Bapa buka tanah, bapa bagi tanah anak ambil tanah ini apa punya cerita? Soal Azmin.

Katanya sewaktu diberi tugas pada 2018 sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi perkara pertama yang beliau lakukan ialah audit Felda.

Kerana ujarnya Felda dalam keadaan yang paling nazak.

“Pengurusannya rasuah, Felda dibebankan dengan hutang berbilion ringgit saya lakukan audit, saya buat kertas putih, saya bentang dalam Parlimen

“Saya secara serius di Parlimen untuk tengok pemimpin UMNO curang kepada peneroka Felda.

“Pada 2012 Najib arahkan Felda untuk menyerahkan 450,000 hektar tanah Felda kepada FGV untuk disenaraikan dan diapung Felda ada dua kategori tanah satu tanah milik felda 450,000 satu lagi kategori 350,000 hektar milik peneroka Felda.

“Najib ambil 450,000 hektar serah kepada FGV untuk diapungkan harga pada hari pertama disenaraikan RM4.55 sen pada 2018 saham jatuh kepada 64 sen akhirnya peneroka Felda menanggung hutang yang besar, Felda menanggung hutang lebih RM10 bilion.

“Apabila tanah dipajak kepada FGV, Felda hilang pendapatan tahunan dan semakin nazak. Peneroka Felda berhutang antara RM80,000 ke RM150,000 mana mampu nak bayar,” beritahu Azmin.

Hal ini katanya kerana kerakusan kepimpinan Felda.

“Saya cadangkan dalam Kertas Putih hapuskan hutang felda dan selamatkan peneroka manakala tanah yang dipajak kepada FGV serah kepada Felda dan peneroka.

“Tapi malangnya menteri kewangan PH waktu itu, DAP,” kata Azmin.

Pada 10 April 2019, Azmin membentangkan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian Felda di Dewan Rakyat berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau lembaga itu yang melebihi RM8 bilion.

Azmin mencadangkan hasil penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan yang dilaksanakan oleh Felda.

Ia termasuk anak syarikat serta prestasi kewangannya termasuk implikasi perjanjian pajakan tanah, pinjaman kepada peneroka dan pulangan pelaburan.

Kertas putih itu juga mengusulkan dewan meluluskan dan merestui usaha kerajaan untuk melaksanakan pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah kelestarian Felda.