KUALA LUMPUR: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat malam tadi menghormati keputusan Lembaga Pengampunan yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.
Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, ia selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Dewan Tertinggi Barisan Nasional menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Pada masa sama, Dewan Tertinggi mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan media Dewan Tertinggi Barisan Nasional.
Terdahulu pada Jumaat lepas, Lembaga Pengampunan mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Dalam pada itu, Barisan Nasional dengan takzimnya merafak sembah tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah dimasyhurkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII.
Tambahnya lagi, Barisan Nasional turut menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melantik Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Dato’ Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi BN Negeri Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Haji Rozi bin Mamat sebagai Pengerusi BN Negeri.-SUARATV