PUTRAJAYA- Laungan daulat Tuanku bergema di pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya apabila mahkmah memutuskan Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman.
Hal ini bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh melaungkan daulat Tuanku sebaik sahaja keluar dari kompleks Mahkamah Putrajaya pada Isnin.
“Daulat Tuanku, daulat Tuanku,” laung Akmal disambut sorakan penyokong lain yang hadir.
Manakala bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil memaklumkan, kemenangan berpihak kepada Najib.
“Hari ini kita telah menang 2-1,” ujarnya.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sehubungan itu panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkan bekas perdana itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.