KUALA LUMPUR — Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua sayap pemuda parti-parti politik untuk mengheret pengkhianat yang menyembunyikan Titah Adendum membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Menurutnya, pengkhianat harus segera disiasat dan diheret ke muka pengadilan demi menpertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.
Hillman turut menegaskan bahawa setiap warganegara di negara ini mempunyai hak yang sama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Armada Bersatu ingin mencadangkan dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua sayap pemuda parti-parti politik bagi memastikan semua pengkhianat ini segera disiasat dan diheret ke muka keadilan demi menpertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.
“Telah terbukti bahawa ada ‘pengkhianat’ yang telah menyembunyikan Titah Addendum bertarikh 29 Januari 2024,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa semua banduan yang dihukum boleh memohon pengampunan atau pengurangan hukuman untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang Di-Pertuan Agong menurut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan surat bertarikh 4 Januari 2025 yang dikeluarkan oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang diutuskan kepada Dato’ Mohamad Nizar Bin Dato’ Sri Mohamad Najib, maka telah terbukti bahawa ada ‘pengkhianat’ yang telah menyembunyikan Titah Addendum bertarikh 29 Januari 2024,” katanya.
Terdahulu Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini membacakan perintah adendum yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong ke-16 membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Muhammad Shafee merujuk kepada dokumen itu ketika berhujah untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan Najib bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan mendedahkan Titah Adendum dan melaksanakannya.
Peguam kanan itu dalam hujahannya berkata, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar mengetahui kewujudan dokumen itu pada 2 Disember tahun lalu daripada istana di bawah arahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Shafee berkata, pada Sabtu lalu, Nizar memberitahu beliau diperintah menghadap Sultan Pahang yang memaklumkan kewujudan salinan Titah Adendum dalam simpanan baginda.
Prosiding hari ini didengar panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.