“Jabatan Penjara tak terima pun surat perintah Najib jalani tahanan rumah”

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Jabatan Penjara tidak pernah menerima sebarang perintah daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki tempoh hukuman penjara di rumah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, agensi itu hanya menerima minit mesyuarat dan perintah untuk melaksanakan keputusan mesyuarat lembaga berkenaan sebagaimana yang diputuskan pada 29 Januari 2024.

Kata Saifuddin perintah yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa itu hanya mengarahkan Jabatan Penjara memendekkan tempoh hukuman penjara kepada 23 Ogos 2028 dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.

“Ini adalah surat yang Jabatan Penjara terima, maknanya tidak ada menyebut tentang tahanan rumah.

“Jadi sebagai jabatan yang melaksanakan perintah Pengerusi Lembaga Pengampunan, maka Jabatan Penjara harus amanah dalam melaksanakannya dan itulah (yang) kami laksanakan.

“Jadi itu penting bagi menepis sebarang persepsi bahawa KDN khususnya Jabatan Penjara tidak patuh atau tidak akur, jauh sama sekali dikatakan menyembunyikan apa-apa keputusan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya ketika sidang media pada Isnin.

Sebelum ini pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah, disembunyikan daripada umum.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, perintah itu wujud dan telah ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution menegaskan, pihaknya hanya boleh melaksanakan perintah Lembaga Pengampunan sebagaimana surat yang diterima.

“Kalau dalam perintah pelaksanan keputusan itu dimasukkan misalnya tahanan rumah dan sebagainya, menjadi tanggungjawab kami (laksanakan).

“Oleh kerana surat yang diterima oleh KDN khususnya Jabatan Penjara hanya menyebut tentang dua perkara itu, bagaimana boleh kami melaksanakan perintah yang tidak ada dalam perintah keputusan Lembaga Pengampunan,” jelas beliau lagi.

Sementara itu ditanya sama ada minit mesyuarat tersebut ada menyentuh mengenai titah tahanan rumah, beliau berkata perkara itu tiada dalam dokumen berkenaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat