Tiada bilik VIP di Penjara Sungai Buloh, Anwar ditempatkan di klinik penjara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara hari ini menafikan dakwaan bekas banduan Penjara Sungai Buloh dikenali sebagai ‘Abang Mat’ mengenai keadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjalani hukuman di penjara berkenaan pada 2015.

Jabatan Penjara menyatakan pihaknya sudah meneliti wawancara dibuat individu terbabit yang disiarkan menerusi rakaman video berdurasi satu jam 20 minit dimuat naik di akaun Youtube ‘Cili Kasi Taruk’ pada 3 Disember lalu.

“Tiada bilik untuk penempatan banduan dalam kalangan orang kenamaan (VIP) di Penjara Sungai Buloh dan mana-mana penjara lain dengan Anwar ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh atas pengesyoran pegawai perubatan kerana isu kesihatan.

“Klinik Penjara Sungai Buloh turut menempatkan banduan lain yang memerlukan rawatan dan pemantauan kesihatan lanjut dengan hampir keseluruhan mereka adalah banduan tempatan dan bukan hanya banduan warga asing.

“Semua banduan di klinik penjara disediakan katil seperti pengesyoran pegawai perubatan untuk kepentingan kesihatan mereka yang dinyatakan dalam Peraturan 234 Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” jelas Jabatan Penjara pada Selasa.

Bukan cuma itu, Jabatan Penjara juga menjelaskan kerja membersihkan kawasan klinik termasuk bilik di klinik dilaksanakan oleh banduan dipilih serta ditempatkan di klinik berkenaan dan bukannya dari blok penginapan lain yang dipantau rapi oleh pegawai penjara.

“Tiada sebarang tirai dipasang untuk melindungi bilik dasar seperti bilik banduan lain yang tidak dipasang tirai bagi membolehkan kawalan dan pemerhatian oleh pegawai penjara dapat dilaksanakan tanpa halangan.

“Malah, terdapat juga kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan terbabit sebagai bantuan kawalan,” katanya.

Berhubung dakwaan menyatakan waktu senaman pada sebelah pagi, jabatan itu memaklumkan ia tidak tepat.

“Berdasarkan rekod jadual ditetapkan di Penjara Sungai Buloh, kemudahan senaman itu dilaksanakan pada waktu petang. Percakapan ‘Abang Mat’ menyatakan Anwar berjogging hanya memakai seluar pendek dan tidak memakai baju juga adalah tidak tepat sama sekali,” katanya.

Bagi sesi lawatan, katanya, perjumpaan untuk Anwar adalah sama seperti layanan diterima banduan lain iaitu mengikut sistem peringkat dan bukannya pada setiap hari.

“Perjumpaan pula dilaksanakan di tempat lawatan dan bukannya di klinik penjara. Berasaskan Peraturan 91, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, banduan boleh dibenarkan perjumpaan khas bagi urusan mustahak dan perlu disegerakan.

“Kemudahan ini turut diberikan kepada banduan lain dalam urusan berkaitan termasuk kematian, perniagaan, pelajaran dan urusan keluarga lain yang mustahak dengan keluarga perlu memohon terlebih dahulu. Hampir semua perjumpaan Anwar bersama keluarga, isterinya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ada bersama,” katanya.

Katanya, bilik penempatan banduan di klinik penjara termasuk bilik Anwar tidak boleh diakses oleh mana-mana banduan lain dengan dikawal pegawai penjara dikhaskan untuk kawalan terhadap beliau sahaja.

“Prosedur operasi standard (SOP) disediakan tidak membolehkan banduan lain berada di situ. Bilik Anwar juga hanya menghadap dinding laluan petugas (pegawai penjara) dan hanya boleh dilihat dari pandangan hadapan bilik berkenaan.

“Maka, dakwaan ‘Abang Mat’ dapat melihat Anwar dalam jarak 50 meter adalah mustahil dan satu rekaan cerita semata-mata,” katanya.

Jabatan itu juga memaklumkan Anwar ketika di penjara mahupun di hospital luar penjara tidak pernah melakukan apa-apa perbuatan melanggar tatatertib.

“Begitu juga pelawat yang melawat beliau di penjara dan hospital turut mematuhi tatatertib lawatan diberikan. Kawalan secara rapi oleh pegawai penjara menunjukkan Anwar sentiasa mematuhi peraturan penjara.

“Keperluan rawatan lanjut Anwar di hospital luar penjara adalah di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan dengan beliau turut mendapat rawatan dan pemeriksaan kesihatan di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat