KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian Rohingya ke Myanmar sekiranya terdapat risiko mereka dizalimi atau nyawa terancam meskipun negara itu bersetuju menerima 5,000 pelarian dari negara ini.
Jurucakap Kerajaan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menerusi Wisma Putra akan meneliti terlebih dahulu beberapa perkara termasuk aspek keselamatan sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan termasuklah mengenal pasti 5,000 pelarian yang terlibat.
“Semestinya Malaysia sebagai sebuah negara bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini (berisiko) sama ada akan dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam.
“Jadi, ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta di Myanmar sebelum kita laksanakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi berkata, kerajaan Myanmar sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menerima 5,000 pelarian terbabit, namun Malaysia masih perlu meneliti kriteria yang ditetapkan sebelum proses penghantaran dilakukan.
“Apa yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim 5,000 orang pelarian Myanmar ini pihak kerajaan junta di Myanmar sedia untuk menerima, tetapi kita akan teliti apakah kriteria dan sekiranya sesuai, kita akan laksanakan tetapi Perdana Menteri mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar sekiranya nyawa mereka terancam,” jelas beliau menurut Sinar Harian.
Difahamkan kira-kira 190,000 pelarian dan pemohon suaka ketika ini berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan lebih 80 peratus daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya dan kumpulan etnik lain dari Myanmar.
Isu kebanjiran pelarian Rohingya di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menjadi perhatian umum, khususnya membabitkan dakwaan peningkatan penempatan di beberapa lokasi, persaingan mendapatkan peluang pekerjaan berpendapatan rendah, selain kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam yang dibangkitkan oleh masyarakat.



