‘Keabsahan’ Menteri Besar Johor Akan Diuji

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Berubah di Persekutuan, berubahlah di negeri. Itu naratif yang menjadi ‘kepercayaan’ pemerhati politik tanah air ketika ini terhadap negeri-negeri yang mungkin terancam sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

Tidak terkecuali Johor yang kini memiliki 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berpihak kepada kerajaan, manakala 27 kerusi lagi milik pembangkang atau Pakatan Harapan (PH).

Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin me­negaskan beliau akan menentukan keabsahan kedudukannya dalam Sidang Parlimen September ini, timbul cakap-cakap bahawa Johor juga perlu membuat perkara sama terhadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Sidang DUN akan bermula 12 Ogos ini, tetapi beberapa pihak juga berkata usul tersebut tidak perlu dilakukan lagi pada masa itu kerana masih terlalu awal atau lebih tepat perlu bergantung kepada keputusan di pe­ringkat Parlimen.

Bercakap mengenai perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya juga belum mempunyai apa-apa perancangan untuk mengemukakan usul tergempar itu pada Sidang DUN akan datang.

Katanya, mereka juga pada masa sama perlu melihat sebarang perkembangan di peringkat Persekutuan sebelum memutuskan apa-apa perkara yang hendak dilakukan.

“Tetapi perkara itu (usul percaya atau tidak percaya) terpulang kepada kumpulan-kumpulan lain jika ada yang mahu melakukannya sebagai usul tergempar, PH Johor tetap perlu berbincang dengan peringkat pimpinan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.

Persengketaan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjejaskan kedudukan UMNO Johor yang kini me­nerajui kerajaan negeri dengan sokongan 12 Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Bersatu dan seorang ADUN Pas.

Ditanya apakah PH mungkin akan menyokong Hasni untuk terus kekal sebagai Menteri Besar sekiranya terdapat sebarang pengundian, Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani berkata, beliau tidak boleh keluarkan kenyataan sewenang-wenang­nya tanpa perbincangan.

– UTUSAN

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat