KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuduhan bahawa siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bermotif politik.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu menyiasat secara teliti apabila terdapat wang tunai bernilai ratusan juta ringgit yang ditemui.
“Jadi kalau jumpa ratusan juta (ringgit) di rumah kamu, (pihak berkuasa) tidak boleh siasat? Kalau begitu kamu tidak boleh mentadbir, (jadi) kamu uruskan kongsi gelap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra di bangunan Parlimen.
Ketika ditanya sama ada akan berlaku rombakan kabinet susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ismail Sabri, Anwar menafikan menafikan tanggapan berkenaan.
Anwar turut memberitahu bahawa belum ada pendakwaan ke atas Datuk Seri Ismail Sabri
“Mengenai kes Datuk Seri Ismail Sabri, tak ada pendakwaan apa lagi, proses siasatan diambil, jadi jangan kita hukum dulu, biar kita hormati proses undang-undang.
“Keduanya jangan kita hukum sebelum proses yang telus dan adil,” katanya.
Beliau menambah, sesiapa sahaja akan dikenakan tindakan termasuk anggota kabinetnya dan menggesa mana-mana pihak melaporkan jika terdapat bukti berkaitan salah laku.
“Prinsip dia siasat tanpa kira, kalau kata mengapa tak ada Menteri (disiasat) bagi tahu nama, bagi tahu mana simpan duit, bagi tahu saya tidak halang tindakan,”.
“Jadi kalau jumpa ratusan juta (ringgit) di rumah kamu, (pihak berkuasa) tidak boleh siasat?
“Kalau begitu kamu tidak boleh mentadbir, (jadi) kamu uruskan kongsi gelap? Janganlah..,” katanya.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa berbuka puasa bersama Ahli-ahli Parlimen serta kakitangan Parlimen di Bangunan Parlimen.
Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.