KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini menerima pernyataan maaf daripada Shukri Shamsudin yang mengakui bahawa beliau membuat tuduhan palsu terhadapnya dalam satu video yang tersebar kepada orang ramai.
Ahli MPT Bersatu itu menyatakan, dalam video tersebut, Shukri memberi gambaran seolah-olah beliau bersalah dan bersedia mengembalikan wang supaya pertuduhan kepada dirinya ditarik balik oleh pihak pendakwa.
“Sedangkan sebenarnya saya kekal dengan pendirian bahawa pendakwaan ke atas saya adalah pendakwaan terpilih bermotif politik.
“Ini adalah tindakan pertama saya. Selepas ini, saya beri amaran, jangan ada lagi sesiapa pun yang cuba memfitnah saya. Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang yang sama sekiranya ada sesiapa yang cuba mencemarkan nama baik saya.
“Hari ini saya menerima permohonan maaf Shukri. Biasanya dalam kes sebegini, saya juga boleh menuntut pampasan tunai. Tetapi apabila Saudara Shukri menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai kemampuan kewangan, saya bersimpati dan bersetuju untuk tidak membuat tuntutan pampasan. Shukri ada menyatakan ucapan terima kasih kepada saya semasa dalam mahkamah tadi,” ujar Wan Saiful dalam kenyataan media pada Isnin.
Wan Saiful yang juga Ketua Bahagian Bersatu Bangi juga menasihatkan kepada semua yang di luar sana, agar kita sama-sama berusaha mewujudkan satu budaya politik yang lebih bermaruah dan berakhlak.
“Mungkin masih ada beberapa individu yang ada sejarah atau dendam lama yang belum selesai. Kadang-kadang kita generasi baru politik pun ada yang tersepit dalam dendam lama, dan kita jadi mangsanya.
“Tapi janganlah kita sebagai generasi baru dalam politik Malaysia terikut-ikut, apatah lagi menjadi jurucakap kepada kepada mereka yang mengamalkan politik lama.
“Dengan itu, saya mengambil peluang ini untuk menyeru kepada semua agar kita gunakan ruang yang ada untuk berusaha mewujudkan suasana politik lebih matang, yang berteraskan ilmu dan bukan lagi politik fitnah dan dendam,” seru beliau.
Pada Julai 2023, Wan Saiful menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan kononnya mahu memulangkan dana Jana Wibawa berjumlah RM6.92 juta jika kes rasuahnya dibatalkan.
Beliau juga menegaskan tidak pernah membuat tawaran itu kepada mana-mana pihak dan konsisten dengan pendiriannya mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebelum ini.
Pemimpin parti Bersatu itu menamakan pemilik akaun TikTok itu, Mohd Shukri Samsudin kerana menerbitkan video fitnah berdurasi 15 saat itu pada 3 Jun 2023 menggunakan akaun @shukrisamsudin_official.
Antara kenyataan Tiktoker tersebut ialah, “Nak pulang balik…oh nak pulang wang Jana Wibawa tu yeah, akhirnya mengaku juga la kan, memang ambil kan, owh takde la bersih sangat, yang lain-lain tu macam mana”.