KUALA LUMPUR- “Isu yang dibangkitkan konon kita longgar terhadap permasalahan rasuah, itu tidak benar,” tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau sekali gus menafikan dakwaan Kerajaan Perpaduan tidak tegas terhadap permasalahan rasuah susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya Anwar menegaskan, proses badan kehakiman itu diteruskan dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memberi kata dua kepada beliau berhubung keputusan terhadap Najib itu.
“Ada hak dia (Najib) atau parti, supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan beri pertimbangan,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Isnin.
Anwar berkata banyak perkara yang perlu diutamakan Kerajaan Perpaduan antaranya berhubung soal ekonomi dan penyelarasan gaji penjawat awam.