Pemimpin Pas berwibawa, bersih rasuah kerana baiah – Hadi

KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulamak yang bertindak dalam aspek hukum menyediakan lafaz baiah dan sumpah yang melengkapi semua syarat baiah.

Adapun kuasa pemantauan dan tindakan terhadap sesiapa yang melanggarnya berada bawah kepimpinan yang mentadbir parti sama ada oleh Jawatankuasa Disiplin ataupun secara langsung oleh AJK Pas Pusat, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Demikianlah kenyataan Pas berkaitan baiah yang berdalilkan al-Quran dan Sunnah serta ijtihad para ulama terdahulu.

“Kini, Pas telah berjaya melahirkan para pemimpin yang berwibawa dan berintegriti sehingga berjaya memerintah beberapa kerajaan negeri yang selamat daripada gejala rasuah dan salah laku yang disaksikan oleh kawan dan lawan, kerana mereka yang gagal dalam baiah akan melarikan diri atau dipecat daripada jemaah.

“Kepada sesiapa yang membuat kenyataan tanpa dalil daripada ilmu Islam, ingatlah firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya. (36) Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung. (37) Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu. (38)” [Surah al-Isra’: 36–38]

“Segala tindakan yang diambil oleh Pas dan langkahnya tetap berpandukan ilmu hukum Islam dan menghormati konsep syura mengikut perkembangan semasa yang matang dan sejahtera,” jelas Ahli Parlimen Marang itu.

Kata Hadi, Pas mewajibkan baiah kepada semua calon untuk pilihan raya setelah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak dari segi kelayakan peribadi dan keilmuan mereka.

Kemudian jelas beliau, pemimpin Pas Pusat yang menentukan sesiapa yang dicalonkan, lalu baiah diakukan kepada pemimpin pusat atau wakilnya yang ditentukan. Baiah itu berkuat kuasa setelah pelantikan apa-apa saja jawatan selepas pilihan raya.

“Maka, semua calon yang menang menjadi wakil rakyat pada peringkat Parlimen, Dewan Negara, atau Dewan Negeri tertakluk pada baiah dan sumpah yang diucapkan serta wajib mentaati arahan kepimpinan pusat yang mentadbir negara, negeri, atau parti.

“Hal ini termasuk pelantikan jawatan oleh Pas Pusat seperti Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Pesuruhjaya negeri-negeri, dan lain-lain yang diberikan hak kuasa oleh perlembagaan parti.

“Maka, baiah mewajibkan ketaatan dalam semua urusan parti dan arahannya yang tidak bersifat maksiat.

“Apabila berlakunya salah laku dalam perkara agama dan pentadbiran parti, maka tindakan disiplin boleh dilakukan oleh Jawatankuasa Disiplin PAS atau secara langsung oleh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat,” tegas beliau.

Baiah adalah satu kewajipan yang ditunaikan dalam perkara tertentu yang ditetapkan, iaitu seruan agar mematuhi arahan atau pelantikan oleh pemimpin pusat dan peringkat yang lain, ujar Hadi.

“Setiap calon pilihan raya diwajibkan berbaiah di hadapan kepimpinan yang ditugaskan bersama dengan lafaz dan qasam (sumpah) untuk tidak mengkhianati perjuangan dan tidak melawan arahan pemimpin tertinggi parti, di samping dilaknat Allah sekiranya melawan baiah dalam perkara yang bukan maksiat dalam semua urusan dan arahan,” katanya.

Menurut beliau, Pas ditubuhkan oleh para ulama dan umara yang berjuang sejak zaman penjajahan serta memenuhi ciri-ciri parti Islam yang disebut dalam al-Quran selepas kehilangan negara Islam. Maka, tindakan baiah adalah salah satu amalannya.

Memperincikan perkara itu, makna perkataan ‘baiah’ asalnya ialah menjual barangan. Kemudian, baiah dijadikan perkara penting dalam perjuangan Islam kepada mereka yang terpilih dalam kalangan kaum Muslimin yang bersedia menyertai perjuangan. Khususnya, apabila menerima tugasan yang paling mencabar dengan ujian yang besar sehingga mengorbankan harta dan jiwa raga.

“Diwajibkan melakukan pengorbanan laksana menjual barangan yang paling berharga bagi dirinya, khususnya harta dan jiwa raganya.

“Rasulullah SAW meminta para pemimpin Madinah yang ditemuinya supaya berbaiah setelah mereka memeluk Islam, diikuti baiah setelah mereka bersedia menyerahkan tanah air mereka menjadi bumi pertama ditegakkan sebuah negara Islam, di samping bersedia mengorbankan diri, keluarga, dan harta bagi mempertahankannya dengan lafaz yang terkenal oleh sabda Rasulullah SAW: “Kamu berbaiah (berjanji setia) kepadaku untuk dengar dan taat pada masa cergas dan malas (dalam semua keadaan), bersedia menyumbangkan harta dalam keadaan susah dan senang, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, bercakap (berterus terang) menyatakan agama Allah (yang benar) tanpa peduli akan celaan orang yang mencela, dan bersedia menolongku apabila aku tiba di Yathrib (negerimu selepas aku berhijrah), serta mempertahankan aku sepertimana kamu mempertahankan dirimu, isterimu, dan anak-anakmu, nescaya Allah menjanjikan Syurga kepada kamu.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 14653, daripada Jabir bin ‘Abdillah] Lalu mereka melakukan baiah tersebut.

“Baiah dilakukan apabila menghadapi ancaman musuh atau berada dalam keadaan yang berbahaya serta apabila melantik jawatan penting seperti khalifah (ketua negara) dan melaksanakan tugasan yang besar.

“Baiah juga dilaksanakan dalam peristiwa Hudaibiyah setelah rombongan Rasulullah SAW dan para sahabatnya dihalang daripada menunaikan umrah ke Makkah. Pada waktu itu, ‘Uthman bin ‘Affan RA yang dihantar untuk berunding telah ditahan dan tersebar berita bahawa beliau dibunuh, maka Rasulullah SAW pun berbaiah bersama para sahabat untuk menyerang Makkah. Akhirnya, termeterai perdamaian yang memberikan kemenangan politik, walaupun pelaksanaan umrah ditangguhkan,” katanya.

Jelas Hadi lagi, semua Khulafa al-Rashidin dilantik dengan baiah, diikuti pelantikan ketua negara atau raja sepanjang sejarah Islam.

“Kadang-kadang disertakan dengan lafaz sumpah (qasam) dengan permulaan lafaz ‘wallahi’ (demi Allah).

“Baiah juga dilakukan dalam pelantikan yang lain melibatkan semua tugasan yang dianggap penting dan mencabar, sama ada di medan perang ataupun tugasan bersama rakyat seperti dalam bidang pentadbiran, kehakiman, kementerian, pentadbiran daerah, dan lain-lain.

“Baiah mewajibkan ketaatan semua pihak dalam semua urusan agama dan pengurusan dunia kepada sesiapa sahaja dalam kalangan pemimpin yang melakukannya, dengan syarat dalam perkara yang bukan maksiat yang diharamkan taat.

“Rasulullah SAW dan para khalifah mengambil tindakan disiplin dengan menasihati atau menghukum sesiapa yang melanggar baiah.

“Kadang-kadang ditugaskan seorang ketua yang jahil agama atau jahat kerana keberaniannya atau pengalamannya, dengan syarat perintah yang dikeluarkannya bukan maksiat yang diharamkan.

“Rasulullah SAW pernah menugaskan ‘Amr bin al-‘As RA yang baru memeluk Islam (mualaf) kerana pengalamannya, walaupun bersamanya ialah para sahabat yang lebih besar dan kanan kedudukan mereka.

“Rasulullah SAW juga pernah menugaskan seorang sahabat yang nakal daripada kalangan Ansar dalam satu sariyah (operasi ketenteraan). Pada masa perjalanan pulang, beliau menyalakan api dan mengarahkan tentera bawahannya untuk terjun ke dalam api tersebut atas alasan mereka diwajibkan taat kepada pemimpin, namun mereka tidak mentaatinya.

“Baiah mentarbiah pengikut yang ikhlas kepada Allah dan menegakkan Islam dengan segala pengorbanan jasad, fikiran, dan harta, di samping menambahkan ilmu dan akhlak yang berintegriti. Sehinggakan Islam yang bermula dari daerah yang paling jahil, buta huruf, dan miskin harta dan ilmunya mencipta tokoh besar yang menakluk dunia dan memerintah dengan adil.

“Inilah hikmah daripada pengorbanan dengan petunjuk ilmu wahyu yang akan dikurniakan akal yang bijak dan ilmu yang bermanfaat bersama hidayah Allah. Para Ahli Kitab yang berilmu, namun tidak ikhlas dengan ilmu mereka akan jauh daripada hidayah dan ilmu mereka tidak memberikan manfaat, akhirnya ilmu mereka dicabut dan akal mereka juga tidak berfaedah.

“Mereka yang tidak ikhlas akan gagal dalam ujian perjuangan sama ada akan melarikan diri ataupun dipecat kerana salah laku mereka,” katanya.

Hadi memberitahu, Perlembagaan Pas menetapkan bahawa hukum Islam adalah tertinggi dalam perlembagaannya, iaitu dirujukkan kepada al-Quran, Sunnah, ijmak, dan qias yang nyata dalam mazhab Shafi‘i, di samping merujuk kepada ijtihad para ulama’ terdahulu dan ijtihad terkini oleh Majlis Syura Ulamak.

“Majlis Syura Ulamak dianggotai oleh ahli daripada kalangan ulama’ PAS dalam segala lapangan ilmu Islam dan segala cabangnya yang mampu berijtihad secara jama‘i. Mereka adalah dalam kalangan pensyarah, ilmuwan Islam, dan ulama’ yang tersohor daripada ahli PAS. Mereka juga ialah rujukan dari segi hukum Islam.

“Pas tidak bergantung dengan satu kepala seorang mufti sahaja, tetapi secara berjemaah (kolektif).

“Majlis Syura Ulamak dijamin tidak tunduk kepada mana-mana tekanan oleh pihak yang menganggap diri mereka berkuasa. Adapun seorang mufti tidak ada kuasa mengatasi pihak yang dianggap lebih tinggi yang melantik dan memberikan tauliah kepadanya.

“Pas ditadbir oleh para ulama, teknokrat, dan ilmuwan dalam segala jurusan, bukan sekadar dalam jurusan politik. Mereka ialah ulu al-amr yang ada pada semua peringkat dan cawangan Pas.

“Kepatuhan kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Sunnah) adalah tidak berbelah bahagi. Adapun kepada ulu al-amr pada semua peringkat adalah wajib ditaati dalam perkara agama dan pentadbiran, dengan syarat tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

“Pas menegakkan prinsip jemaah (parti) menguasai kerajaan daripada kalangan ulu al-amr atau ahl al-hall wa al-‘aqd (أهل الحل والعقد). Sistem pemerintahan Islam meletakkan perlembagaan Islam adalah tertinggi.

“Khalifah atau raja berada bawah perlembagaan. Maka, Rasulullah SAW mengekalkan raja-raja yang memeluk Islam seperti al-Najasyi Raja Habsyah, Raja Masqat, dan Raja Oman yang dipandu bawah perlembagaan Islam yang diurus oleh ahl al-hall wa al-‘aqd. Khalifah, raja, dan ahl al-hall wa al-‘aqd semuanya bertaraf ulu al-amr,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat