KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menuntut jaminan bahawa cadangan pengambilalihan Boustead Plantations Berhad oleh Achi Jaya Plantations Sdn Bhd bernilai RM4.3 bilion benar-benar memberikan manfaat jangka panjang kepada anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, Boustead Plantations bukan sekadar sebuah syarikat perladangan, sebaliknya merupakan aset strategik yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan kewangan, simpanan persaraan serta masa depan anggota dan veteran ATM.
Menurutnya, MCW mengambil maklum penjelasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bahawa transaksi berkenaan bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan serta mempelbagaikan portfolio pelaburannya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa justifikasi komersial tidak seharusnya mengetepikan aspek tatakelola dan ketelusan dalam pengurusan aset berkenaan.
“Jangan sampai keuntungan jangka pendek mengorbankan kepentingan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, MCW membantah sebarang usaha memuktamadkan cadangan pengambilalihan berkenaan selagi persoalan mengenai ketelusan, pemilikan sebenar dan kemungkinan konflik kepentingan tidak dijelaskan secara meyakinkan.
Antara perkara yang dibangkitkan termasuk sumber pembiayaan transaksi bernilai RM4.3 bilion itu serta sama ada aset Boustead sendiri akan digunakan sebagai cagaran.
MCW turut mempersoalkan asas pemilihan Achi Jaya berbanding syarikat perladangan lain seperti SD Guthrie dan Tradewinds Plantation.
Dalam pada itu, badan berkenaan menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneliti transaksi tersebut secara bebas.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula diminta menjalankan siasatan sekiranya terdapat asas munasabah berhubung kemungkinan penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan.
Jais berkata, aset strategik negara bukan milik mana-mana pemimpin, penasihat ekonomi atau kelompok korporat, sebaliknya merupakan amanah yang perlu diuruskan dengan penuh integriti dan tanggungjawab.



