KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap tiga doktor kanan yang ditahan agensi penguat kuasa itu di Pulau Pinang baru-baru ini.
KKM menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa oleh kakitangannya.
“KKM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap terbaik,” kata KKM dalam kenyataan pada Rabu.
Semalam media melaporkan, tiga doktor kanan yang bertugas di dua hospital di Pulau Pinang ditahan SPRM susulan siasatan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Difahamkan, dua daripada doktor itu ditahan di Hospital Seberang Jaya, manakala seorang lagi di Hospital Bukit Mertajam.
Penahanan tiga doktor itu pagi semalam disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Menurut Azam, siasatan lanjut akan dijalankan SPRM dengan tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga mereka akan ditahan reman.
Pada Julai lalu, Ahli Dewan Negara, Dr R A Lingeshwaran menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menjelaskan dakwaan beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya PERKESO digantung, dikaitkan dengan kartel memalsukan permohonan sedemikian.
Lingeshwaran memaklumkan Dewan Negara, mereka digantung sehingga diberitahu kelak selepas PERKESO mendapat tahu mengenai kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang.
Lingeshwaran yang juga bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang berkata, beliau difahamkan kartel sedang melobi supaya doktor yang digantung itu kembali bertugas di hospital sama.
Beliau mendakwa terdapat 683 pengeluaran palsu dari 2018 hingga 2022 membabitkan kira-kira RM43 juta, yang mana 16 melibatkan seorang doktor tertentu yang perkhidmatannya ditamatkan selepas kegiatan terbongkar.