Undi keabsahan Perdana Menteri langgar Perlembagaan Persekutuan – Peguam Negara

- Advertisement -

Putrajaya – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berpendapat cadangan mengadakan undi menentukan keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan melalui sidang Dewan Rakyat adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Idrus Harun pelantikan seseorang perdana menteri adalah kuasa budi bicara Seri Paduka Baginda selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diatasi oleh pihak lain.

Dalam kenyataan media Pejabat Peguam Negara petang tadi Idrus berpendapat langkah mahu mengadkan usul menentukan keabsahan kedudukan perdana menteri di Dewan Rakyat adalah adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada 21 Ogos 2021, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”

“Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada Seri Paduka Baginda untuk melantik Perdana Menteri harus dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mana Perdana Menteri hendaklah dilantik dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ternyata sekali pelantikan Perdana Menteri merupakan tanggungjawab perlembagaan (constitutional responsibility) dan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain,” tegas kenyataan media tersebut.

Idrus turut menyatakan kronologi proses pelantikann Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri telah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan harus diterima oleh semua pihak.

“Tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Seri Paduka Baginda sendiri.”

“Bagi tujuan tersebut, Seri Paduka Baginda telah pun mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat telah diminta untuk menyatakan nama ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahliahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration).”

“Seterusnya, nama-nama bakal Perdana Menteri daripada kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara, masing-masing menerusi surat akuan pada 18 Ogos 2021 lalu. Susulan daripada penerimaan surat-surat akuan tersebut, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap seramai 114 ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri iaitu Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Ahli Parlimen Bera.”

“Seterusnya, pada 21 Ogos 2021 juga YAB Perdana Menteri yang baharu telah pun mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah taat setia dan juga sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka Baginda menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan.”

“Selaras dengan proses pemilihan yang telah dijalankan oleh Seri Paduka Baginda dengan teliti dan telus untuk melantik YAB Perdana Menteri ke-9 seperti yang dinyatakan di atas, secara jelasnya pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri yang ke-9 adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.” – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat