PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Sabah terus memperjuangkan cadangan meletakkan sektor pelancongan di bawah Senarai Bersama (Concurrent List) Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuh tadbir urus industri itu selaras dengan semangat dan prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, langkah itu akan memberikan Sabah kuasa perundangan untuk mengawal selia, mentadbir dan membangunkan industri pelancongan mengikut keperluan, keutamaan serta keunikan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Putrajaya pada Isnin.
“Sabah bukan meminta layanan istimewa. Sabah mahu memperkukuh keupayaannya untuk menguruskan salah satu sektor ekonomi terpenting negeri ini selaras dengan semangat MA63,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jafry, penempatan sektor pelancongan di bawah Senarai Bersama akan membolehkan Sabah memperkukuh tadbir urus industri itu, menambah baik sistem pelesenan dan kawal selia, memelihara warisan budaya serta khazanah alam semula jadi, meningkatkan keselamatan pelancong, selain memperkenalkan dasar seperti Levi Kelestarian Pelancongan bagi menyokong usaha pemuliharaan dan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.
Beliau menegaskan cadangan tersebut bukan bertujuan memisahkan Sabah daripada kerangka pelancongan negara, sebaliknya bagi mewujudkan kerjasama yang lebih berkesan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Cadangan ini adalah untuk memperkasakan Sabah supaya dapat mengurus industri pelancongannya dengan lebih berkesan, sambil terus menyumbang kepada dan menyokong agenda pembangunan pelancongan negara,” katanya.
Jafry berkata, industri pelancongan Sabah mempunyai keunikan tersendiri yang memerlukan dasar dan pendekatan disesuaikan dengan realiti geografi, alam sekitar dan sosioekonomi negeri.
Katanya, faktor seperti kekayaan biodiversiti, keluasan kawasan perlindungan, pelancongan pulau, warisan budaya masyarakat pribumi serta pembangunan pelancongan berasaskan komuniti memerlukan pendekatan yang lebih khusus.
“Peranan yang lebih besar kepada Sabah dalam tadbir urus pelancongan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada negeri ini, malah akan memperkukuh daya saing industri pelancongan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut menegaskan sektor pelancongan kekal sebagai antara tonggak utama ekonomi Sabah dengan mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri.
Mengulas mengenai MA63, Jafry berkata perjanjian itu bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya merupakan komitmen perlembagaan yang perlu terus menjadi panduan dalam pembentukan dasar serta memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan cadangan berkenaan dapat dilaksanakan melalui proses libat urus yang konstruktif.
“Kami yakin bahawa melalui kerjasama, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap semangat MA63, kita mampu memperkukuh industri pelancongan Malaysia demi manfaat semua,” katanya.



